PETALING JAYA, 13 Ogos 2025 — NGO Empati menggesa Perdana Menteri mengetuai usaha membetulkan naratif masyarakat terhadap isu buli, susulan kematian tragis pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina, yang mencetuskan kebimbangan nasional.
Di dalam satu kenyataan media hari ini, Pengasas dan Presiden NGO Empati, Syahida Zulkarnain berkata kes buli bukan sekadar masalah disiplin di sekolah, tetapi telah berkembang menjadi budaya yang menjejaskan kesihatan mental masyarakat.
“Ramai mangsa trauma akibat dibuli sejak kecil, ada yang mengalami kemurungan, keresahan, gangguan tekanan pascatrauma (PTSD), malah ada yang cuba menamatkan nyawa,” kata beliau lagi dalam kenyataan tersebut.
Organisasi itu memandang serius kegagalan melaksanakan reformasi berkesan, khususnya di institusi pendidikan, walaupun pelbagai langkah telah diumumkan. NGO Empati menyifatkan kerajaan perlu menghentikan sikap memandang ringan isu buli dan segera melaksanakan langkah tegas, termasuk:
- Menyediakan sistem aduan mesra mangsa yang pantas, telus, dan bebas daripada risiko pembalasan.
- Menempatkan kaunselor terlatih untuk mengesan sifat dominan dan agresif dalam kalangan pelajar.
- Menghapuskan stigma terhadap pelaporan salah laku, termasuk buli, bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang selamat.
NGO Empati turut menyatakan rasa kesal terhadap kegagalan kerajaan mengawal naratif kes Zara di media sosial, yang mengakibatkan penyebaran spekulasi dan berita palsu. Keadaan itu, menurutnya, menjejaskan pelbagai pihak termasuk keluarga mangsa.
“Kerajaan perlu mengetuai pelaksanaan pengumuman yang telus dan konsisten sebagai bukti komitmen tinggi, disertai empati terhadap kes yang menyayat hati ini,” kata Syahida lagi.
NGO Empati menegaskan, meskipun Zara telah tiada, setiap anak selepas ini adalah “Zara” yang masih boleh diselamatkan, dan berharap langkah pencegahan lebih berkesan dapat dilaksanakan demi masa depan generasi muda.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































