KUALA LUMPUR, 28 Ogos 2026 – Ombak KLCC, destinasi gaya hidup berteraskan budaya terbaharu di Presint KLCC, menganjurkan sambutan ‘Jiwa Merdeka’ selama empat hari bermula hari ini hingga 31 Ogos 2026 sempena meraikan Ulang Tahun Kemerdekaan Malaysia ke-69.
Acara berkenaan menampilkan 69 aktiviti merangkumi seni, kraf, makanan, muzik serta persembahan komuniti yang menggabungkan elemen warisan tradisional dan budaya kontemporari.
Penganjuran ini turut dimeriahkan dengan persembahan barisan penyanyi terkemuka tanah air termasuk Datuk Sheila Majid, Yuna, Dayang Nurfaizah, Reshmonu, Atilia, Vince Chong dan DJ Santan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd. Salem Kailany, berkata Ombak KLCC memperkenal dimensi budaya baharu di Presint KLCC yang menyatukan seni, budaya dan gaya hidup dalam satu ruang berinteraktif.
“Ombak KLCC memperkenalkan lapisan budaya baharu yang berbeza di Presint KLCC, mewujudkan ruang khusus di mana seni, budaya dan gaya hidup bersatu. Ia menambah pengalaman imersif dan menyeluruh buat komuniti tempatan serta antarabangsa,” kata beliau.
“Menerusi Jiwa Merdeka, kami menterjemahkan visi tersebut sejak awal lagi menerusi 69 aktiviti sepanjang empat hari yang terbuka kepada semua pengunjung. Sepanjang tempoh ini, pengunjung dapat merasai pelbagai ekspresi budaya Malaysia di satu lokasi,” kata beliau lagi.

Selain persembahan muzikal, pengunjung disajikan dengan Pengalaman Imersif Jiwa Merdeka yang menampilkan keunikan tiga kejiranan budaya Kuala Lumpur iaitu Little India, Chinatown dan Kampung Baru, di samping penganjuran Pesta Kopi Merdeka dan Pasar Seloka.
Ombak KLCC yang terhubung secara langsung dengan Stesen MRT Persiaran KLCC itu turut menempatkan Galeri PETRONAS sebagai penyewa utama yang kini membuka ruang pameran baharunya kepada awam sebelum beroperasi sepenuhnya tahun hadapan.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































