Kuala Lumpur, 30 Ogos 2022 – PAS secara tegas tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau mana-mana parti komponennya dalam menghadapi PRU15, termasuklah cadangan konsep ‘khemah besar’, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Harian yang diadakan pada 29 Ogos 2022, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan juga turut memutuskan bahawa kerajaan negeri yang diterajui PAS tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing lebih awal dari Mac 2023.
Ianya adalah atas dasar buat masa ini penumpuan yang lebih perlu diberikan kepada aspek pemulihan dalam kehidupan rakyat terutama di bidang perekonomian selain dari kesihatan, kata beliau.
Takiyuddin berkata PAS tetap mengutamakan konsep Penyatuan Ummah dan perpaduan nasional dalam setiap langkah dan pendirian politiknya;
“PAS amat optimis pendekatan penyatuan ummah tersebut boleh dicapai melalui kolaborasi parti-parti utama di negara ini yang berteraskan konsep perpaduan Melayu-Islam dan bumiputra kerana ia adalah formula paling berkesan serta diterima oleh majoriti rakyat Malaysia,” katanya.
Menurutnya, PAS mengambil pendekatan bersikap terbuka dalam mencari formula terbaik bagi mewujudkan kerjasama politik dengan mana-mana pihak yang mengutamakan perpaduan serta keharmonian dalam menghadapi PRU15 demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.
Beliau juga berkata kesemua perkara tersebut akan turut diberikan tumpuan semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-68 yang akan diadakan di Alor Setar, Kedah pada 3 dan 4 September 2022.
— Akses Malaysia