KUALA LUMPUR, 8 Nov 2022 — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan sebanyak 997 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) setakat semalam, kata Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Abdullah.
Hazani berkata daripada jumlah itu, 193 permit dikeluarkan di Sabah, Sarawak (144), Johor (125), Selangor (113), Perak (102), Kedah (68), Negeri Sembilan (48), Melaka (46), Pahang (45), Kelantan (41), Terengganu (27), Pulau Pinang (21), Kuala Lumpur (15), Perlis (sembilan).
“Pada masa sama, polis mengesan 72 ceramah tidak mempunyai permit iaitu 21 di Negeri Sembilan, Kuala Lumpur (15), Perak (14), Selangor (13), Kedah (lima), Pahang (tiga) dan Kelantan (satu),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengenai kesalahan berkaitan PRU15, Hazani berkata di Kedah, dua lelaki tempatan ditahan dengan kes pertama membabitkan satu khemah pusat mengundi di Tapak Majlis Perbandaran Kulim Kedah, Taman Cili, Lunas dibakar manakala bendera Barisan Nasional (BN) dicabut dan dibuang ke dalam longkang.
“Satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan perbuatan khianat dan Seksyen 435 KK kerana khianat dengan api,” katanya.
Kes kedua pula dilaporkan di Pulau Langkawi apabila seorang lelaki membuat laporan diugut seorang lelaki lain yang tidak berpuas hati kerana pelantikannya sebagai ketua Pusat Daerah Mengundi cawangan Pulau Tuba.
“Suspek mengugut akan menumbuk pengadu jika terjumpanya di luar atau semasa berkempen dan suspek telah ditahan, selain satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Seksyen 506 KK kerana melakukan ugutan jenayah.
Di Perak,polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 500 KK kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia di Kerian.
Hazani berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu memaklumkan rakaman ucapan Razman Zakaria iaitu calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol di Tapak Pasar Hari Tebuk Panchor mengandungi unsur fitnah dan berniat jahat ditujukan kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
— Akses Malaysia
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.