KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Sempena Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 pada 16 Jun 2022 yang bertemakan “Perlindungan Sepanjang Hayat untuk Semua”, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga 11 tahun akan dibuka selama 5 hari mulai 20 Jun hingga 24 Jun 2022.
Pembukaan vaskinasi ini adalah bagi meraikan ibu bapa yang kini berhasrat mendapatkan vaksin COVID-19 bagi anak-anak yang terlepas peluang sebelum ini dan keprihatinan KKM atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin. Ibu bapa yang berhasrat mendapatkan vaksinasi ini bolehlah mendapatkan vaksinasi tanpa janji temu di klinik-klinik kesihatan di bawah KKM bagi tempoh yang dinyatakan.
Ibu bapa boleh membawa anak mereka ke klinik kesihatan KKM bermula 20 hingga 24 Jun 2022 ini. Pemberian adalah berdasarkan kepada stok vaksin di sesebuah fasiliti pada hari tersebut dan sekiranya stok untuk hari tersebut habis, ibu bapa perlu membawa anak keesokkan harinya.
Ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi COVID-19 atau baru membuat keputusan membenarkan anak di vaksinasi digalakkan mengambil peluang ini.
Bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur 5 tahun, ibu bapa masih boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera.