PUTRAJAYA, 28 Ogos 2022 — Kerajaan bersetuju penetapan harga siling bagi ayam standard di pasaran diteruskan pada harga RM9.40 sekilogram.
Demikian menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam ciapan di Twitter rasmi, di sini hari ini.
Beliau berkata persetujuan yang dicapai secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri dua hari lepas turut menyaksikan harga ayam tidak akan diapungkan di pasaran ekoran kegusaran yang ditimbulkan oleh segelintir pihak.
“Perincian lanjut berhubung keputusan meneruskan penetapan harga siling bagi ayam standard di seluruh negara akan diumumkan secara lebih lanjut dalam pasca mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Khas Jihad Menangani Inflasi esok,” katanya.
Pada 30 Julai lepas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof berkata mekanisme pelaksanaan harga siling ayam standard RM9.40 sekilogram di semenanjung mungkin tidak akan diteruskan kerajaan selepas 31 Ogos memandangkan bekalannya didapati semakin stabil hari demi hari.
Ini kerana harga pasaran ayam bulat sekarang berada di bawah siling malah terdapat penjual menawarkan harga serendah RM6.99 sekilogram.
— Akses Malaysia