HONG KONG, 25 Mac 2026 — Hanya kira-kira dua daripada lima pengguna atau 43 peratus di rantau Asia Pasifik berasa mampu untuk meningkatkan kesejahteraan ekonomi mereka, manakala cuma satu pertiga yakin dapat mencapai matlamat kewangan masing-masing dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Dapatan tersebut didedahkan melalui Tinjauan Pemerkasaan Kesihatan dan Ekonomi Asia Pasifik (APAC) 2025 yang dijalankan oleh syarikat kesihatan dan kesejahteraan, Herbalife. Tinjauan yang dilaksanakan pada Oktober tahun lalu itu melibatkan seramai 8,505 responden dari 11 pasaran termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia dan Australia.
Susulan iklim ekonomi yang tidak menentu dan komitmen kewangan peribadi yang tinggi, hampir separuh atau 49 peratus responden merancang untuk mengurangkan perbelanjaan tidak penting. Selain itu, satu pertiga responden berhasrat untuk meninjau pilihan pelaburan manakala 23 peratus lagi menyasarkan untuk memulakan perniagaan bagi memperbaiki prospek kewangan mereka.
Dari sudut demografi, dapatan tinjauan mendapati generasi muda menunjukkan tahap keyakinan yang lebih tinggi berbanding golongan lebih berusia. Sebanyak 66 peratus daripada Generasi Z dan 62 peratus golongan Milenial menjangkakan keadaan ekonomi mereka akan bertambah baik pada bulan-bulan mendatang.
Corak keyakinan yang sama turut direkodkan dalam aspek penjagaan kesihatan. Sebanyak 47 peratus Generasi Z dan 46 peratus Milenial yakin mampu merealisasikan matlamat kesihatan mereka, berbanding hanya 34 peratus bagi Generasi X dan 27 peratus dalam kalangan generasi ‘Baby Boomers’.
Antara langkah utama yang diambil oleh responden bagi membaiki taraf kesihatan termasuk bersenam dengan lebih kerap, meninggalkan tabiat gaya hidup tidak sihat dan meluangkan lebih banyak masa untuk aktiviti kesejahteraan.
Pengarah Urusan Herbalife Asia Pasifik, Thomas Harms berkata, dapatan itu secara keseluruhan menunjukkan tahap pemerkasaan dan keyakinan ekonomi yang agak rendah dalam kalangan pengguna di rantau ini, di mana sebahagian besar masih tidak pasti mengenai kedudukan kewangan mereka pada tahun hadapan.
“Bagaimanapun, adalah sangat menggalakkan untuk melihat orang ramai secara aktif mencari peluang baharu seperti melabur atau memulakan perniagaan untuk memperbaiki masa depan kewangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menjelaskan bahawa wujud kesinambungan yang kukuh antara kesihatan dan pemerkasaan ekonomi di dalam tinjauan tersebut. Menurutnya, hal ini memberi petunjuk bahawa keyakinan individu dalam membuat keputusan kewangan bergerak seiring dengan keyakinan mereka dalam menguruskan tahap kesihatan peribadi, terutamanya ketika mendepani ketidaktentuan ekonomi yang berterusan.

Keyakinan pengguna Asia Pasifik terhadap masa depan ekonomi kekal rendah, dengan hanya 43 peratus yakin dapat meningkatkan kesejahteraan ekonomi.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































