KUALA LUMPUR, 30 Julai 2023 — Majlis Bandaraya Ipoh hari ini mengumumkan penjemaan semula Program Ipoh Car Free Day kepada Ipoh Low Carbon Day. Program yang biasanya mengambil tempat di Jalan Raja DiHilir ini pernah menerima Anugerah Platinum, Placemaking Award daripada Institut Perancang Malaysia dalam kategori Jalanan (Penggunaan Semasa Acara).
Mula diperkenalkan pada 18 Oktober 2015 di Jalan Raja Dihilir, program ini kemudiannya berpindah ke Dataran Bandaraya (Jalan Sultan Abdul Jalil) pada 22 Disember 2019.
Pertukaran nama ini sejajar dengan usaha mewujudkan kesedaran dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida di Ipoh, menyokong matlamat negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca sebanyak 45% menjelang tahun 2030.

Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Bin Baharin @ Md.Daud berkata bahawa penjenamaan semula program ini sebagai Ipoh Low Carbon Day adalah satu langkah penting dalam merangka strategi kelestarian bandar. Program ini bermula pada bulan Julai 2023.
Program Ipoh Low Carbon Day ini memberikan pelbagai manfaat kepada semua warga bandar, termasuk agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan individu. Pelbagai aktiviti seperti joging, berbasikal, berjalan kaki, dan pelbagai aktiviti sihat lain dibenarkan semasa laluan ditutup semasa Ipoh Low Carbon Day.
Matlamat utama program ini adalah untuk menggalakkan penduduk bandar menjalani gaya hidup yang lebih sihat sambil turut memberi komitmen menyahut cabaran Ke arah Mencapai Aspirasi Kelestarian Bandar Sifar Karbon Bersih 2050. Ini juga selari dengan hasrat menjadikan Ipoh sebagai bandar hijau, pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang tahun 2030.
Selain itu, program Ipoh Low Carbon Day pada bulan Julai ini turut menampilkan acara kayuhan santai “Kayuhan Melawat Ipoh 2023” sepanjang 10 km. Acara ini diikuti oleh 250 peserta dan turut dimeriahkan lagi dengan acara larian 5 km iaitu NATSEC Fun Run anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN). Acara ini melibatkan penyertaan 300 peserta.
Program yang dinamakan semula ini telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Ipoh sendiri, Dato’ Rumaizi Bin Baharin @ Md.Daud, bersama dengan Tuan Khairul Amir bin Jamil, Penolong Pengarah Keselamatan Negara, Negeri Perak.
Program Ipoh Low Carbon Day ini menjadi satu inisiatif terbaru dalam menjayakan hasrat mengurangkan impak karbon dan mengekalkan kehijauan bandar Ipoh, sambil turut mencorak imej bandar sebagai tempat kehidupan yang sihat dan lestari.
— Akses Malaysia