KUALA LUMPUR, 15 September 2026 – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Lo Su Fui, hari ini merasmikan Persidangan World Federation of Great Towers (WFGT) 2026 yang berlangsung di Menara Berkembar PETRONAS bagi menghimpunkan lebih 70 delegasi pengendali menara ikonik dari lebih 16 negara.
Persidangan antarabangsa bertemakan “In Pursuit of Excellence” yang dianjurkan oleh PETRONAS Twin Towers Sky Xperience itu menjadi platform pertukaran ilmu dan inovasi bagi mengukuhkan sektor pelancongan berasaskan mercu tanda global sempena Tahun Melawat Malaysia 2026–2027.
Datuk Lo Su Fui berkata penganjuran persidangan berkenaan menyokong usaha Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pilihan pelancong antarabangsa.
“Malaysia berbesar hati mengalu-alukan kehadiran wakil daripada lebih 25 menara ikonik dunia serta ahli-ahli World Federation of Great Towers ke Kuala Lumpur. Kehadiran mereka mencerminkan kepentingan mercu tanda ikonik sebagai simbol identiti, kemajuan dan kebanggaan sesebuah bandar serta negara,” kata beliau lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KLCC (Holdings) Sdn Bhd, Datuk Sr Mohd Salem Kailany, pula berkata penganjuran WFGT 2026 memberi peluang untuk memperkenalkan keseluruhan Presint KLCC dan Kuala Lumpur kepada komuniti pelancongan antarabangsa.
“Walaupun Menara Berkembar PETRONAS menjadi tarikan utama yang membawa mereka ke sini, kami berharap pengalaman, budaya dan semangat kota raya ini akan meninggalkan memori yang berkekalan,” kata beliau.
Pengarah Eksekutif World Federation of Great Towers, Jean-Yves Ghazi, menyifatkan Kuala Lumpur sebagai lokasi yang ideal untuk menghimpunkan komuniti menara ikonik dunia.
“Menara Berkembar PETRONAS merupakan antara mercu tanda paling dikenali di dunia dan melambangkan inovasi, aspirasi serta kecemerlangan yang menjadi teras kepada World Federation of Great Towers. Kuala Lumpur menyediakan persekitaran yang ideal untuk membincangkan masa depan pelancongan, keterlibatan pelawat dan pembangunan destinasi,” kata beliau lagi. Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains Sdn Bhd, Ezarisma Azni Mohamad, menambah penganjuran persidangan ini hadir pada waktu yang bermakna selepas Menara Berkembar PETRONAS meraikan ulang tahun ke-27 pada 31 Ogos lalu. Menerusi persidangan ini, para delegasi turut dijadualkan melawat Menara Kuala Lumpur dan Kuantan 188 bagi meneroka landskap pelancongan negara secara lebih mendalam.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































