KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 — Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih perlahan sepanjang 2025 berikutan tekanan luaran, meskipun eksport menunjukkan lonjakan sementara pada awal tahun. Laporan ICAEW Southeast Asia Economic Insight: Suku Kedua 2025 menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara akan turun ke paras sederhana kepada 4.3 peratus tahun ini, berbanding 5.1 peratus pada 2024.
Penurunan ini dikaitkan dengan ketidaktentuan global yang berterusan termasuk ketegangan perdagangan dan permintaan lemah daripada rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat dan China.
Menurut laporan itu, eksport barangan Malaysia melonjak 26 peratus tahun ke tahun pada April 2025 disebabkan penghantaran tergesa-gesa ke AS untuk mengelak tarif baharu. Namun, prestasi ini dijangka tidak bertahan, dengan pertumbuhan eksport barangan perlahan kepada hanya 1.6 peratus pada suku pertama 2025 — jauh lebih rendah daripada purata 7.1 peratus dalam tiga suku sebelumnya.
Malaysia masih terdedah kepada kejutan luaran, dengan lebih 4 peratus KDNK dan sekitar 11 peratus eksport kasar berkait rapat dengan permintaan AS. Walaupun kadar tarif yang dikenakan AS ke atas import dari Malaysia diturunkan kepada 10 peratus — berbanding cadangan asal 24 peratus — ia masih memberi kesan ketara kepada pengeksport tempatan. Tambahan pula, kelemahan permintaan dari China menambah tekanan kepada sektor perdagangan luar negara.
Dalam masa sama, eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia mencatatkan pertumbuhan sekitar 20 peratus tahun ini, disokong oleh permintaan kukuh global terhadap komponen perantaraan dalam rantaian bekalan semikonduktor.
Naib Canselor Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia merangkap Ahli Majlis ICAEW, Dato’ Mohammad Faiz Azmi, ketika Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 berkata, kekuatan ASEAN bergantung pada perpaduan dan matlamat bersama.
“Kerjasama serantau adalah kunci kepada daya tahan ekonomi rantau ini,” katanya.
Sektor pelancongan turut menjadi pemacu pertumbuhan, terutama daripada pelancong ASEAN yang menyumbang 67 peratus ketibaan pada 2024. Namun, ketibaan pelancong mungkin terjejas sekiranya ekonomi negara-negara sumber utama terus bergelut dengan ketidaktentuan pekerjaan dan pendapatan.
Disebabkan ruang fiskal yang terhad berikutan hutang awam yang tinggi, kelonggaran dasar monetari dijangka menjadi pilihan utama. Inflasi yang rendah sekitar 1.5 peratus memberi ruang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempertimbangkan pemotongan kadar dasar sebanyak 50 mata asas menjelang akhir tahun.
“BNM telah memberi isyarat untuk terus menyokong pertumbuhan dengan pendekatan dasar yang akomodatif,” menurut laporan itu, sambil menambah bahawa ia bertujuan mengimbangi kelembapan dalam pelaburan domestik dan perbelanjaan pengguna.
Dalam tinjauan lebih luas, ICAEW turut mencatatkan tanda-tanda kelembapan ekonomi sejak Mac 2022 hingga Mac 2025, termasuk penurunan pertumbuhan penggunaan swasta serta eksport barangan dan perkhidmatan.
Unjuran Serantau
- Singapura dijangka mencatat pertumbuhan KDNK sebanyak 1.8 peratus pada 2025, susut daripada 4.4 peratus pada tahun sebelumnya.
- China pula dijangka mencatat pertumbuhan sekitar 4.4 peratus, berbanding 5 peratus pada 2024, akibat ketidaktentuan tarif dan tekanan terhadap pelaburan serta penggunaan domestik.
Walaupun berdepan cabaran global, Malaysia dijangka kekal stabil berkat sektor eksport yang kukuh dan dasar sokongan yang bersesuaian.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.
















































