PUTRAJAYA, 20 Ogos 2026 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengiktiraf seramai 50 organisasi tempatan menerusi Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2026 bagi meraikan pencapaian dalam pembangunan tenaga lestari, kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur semalam.
Anugerah berkenaan disampaikan menerusi empat kategori utama iaitu Pengurusan Tenaga, Bangunan Cekap Tenaga, Tenaga Boleh Baharu dan Anugerah Khas. Projek yang memenangi anugerah berkenaan berjaya menyumbang kepada penjimatan tenaga dan penjanaan tenaga boleh baharu sebanyak 270.54 gigawatt jam (GWh) setahun, dengan nilai penjimatan kos tenaga mencecah RM48.82 juta setahun.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut menyumbang kepada pengurangan emisi karbon dioksida dianggarkan sebanyak 9.93 juta tan setahun, sekali gus menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar seawal tahun 2050. Pencapaian ini sekali gus mendokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Strategik PETRA 2026–2030.
Penganjuran NEA 2026 turut mencatatkan sejarah apabila kategori Tenaga Boleh Baharu menerima penyertaan penuh buat julung kalinya menerusi pelbagai aplikasi teknologi seperti sistem fotovoltaik solar, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), biogas, tenaga daripada sisa dan hidrogen hijau. Edisi kali ini juga menyaksikan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia bertindak sebagai Urus Setia bagi menggantikan Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Organisasi terpilih daripada anugerah ini bakal mewakili Malaysia ke Anugerah Tenaga ASEAN (AEA) bagi mempamerkan amalan terbaik dan pencapaian pembangunan tenaga lestari negara di peringkat serantau.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































