PUTRAJAYA, 3 September 2026 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyokong inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) melancarkan Kempen Geng Bijak Tenaga bagi menggalakkan rakyat memahami penggunaan bil elektrik serta memupuk amalan kecekapan tenaga secara berhemah.
Pelancaran kempen pendidikan awam berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri PETRA, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad, sempena Sesi Perjumpaan Warga PETRA di Menara PETRA di sini hari ini, yang turut dihadiri Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
Menerusi kempen ini, pelanggan domestik TNB digalakkan memantau serta mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kWj dan ke bawah sebulan bagi tempoh Oktober dan November 2026. Sebanyak 2,000 pelanggan domestik yang berjaya mencatatkan peratusan penurunan penggunaan tertinggi layak menerima insentif PIN Tambah Nilai Touch ’n Go bernilai RM100, melibatkan peruntukan keseluruhan RM200,000.
Inisiatif ini dilaksanakan sebagai langkah mengurus corak penggunaan elektrik di rumah berdepan cabaran Krisis Bekalan Global (KBG) yang memberi tekanan kepada kos tenaga antarabangsa. PETRA menegaskan bahawa penggunaan tenaga secara bijak tidak bermaksud mengorbankan keselesaan, sebaliknya mengelakkan pembaziran demi penggunaan sumber tenaga negara secara lebih berhemah.
Pendaftaran kempen dibuka bermula 10 September 2026 kepada pelanggan domestik yang layak menerusi laman web rasmi www.gengbijaktenaga.my. TNB bakal menilai dan mengesahkan penggunaan elektrik peserta sebelum mengumumkan senarai 2,000 penerima insentif pada Disember ini.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































