KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2025 – Petrosains Sdn. Bhd. dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) memeterai Memorandum Kerjasama (MoC) strategik pada 15 Ogos lalu di Menara Berkembar PETRONAS, langkah yang dijangka memperkukuh pengalaman pelawat menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
MoC ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains, Ezarisma Azni Mohamad dan Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, Ketua Sekretariat VM2026, serta disaksikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy dan Pengerusi Petrosains, Nik Rosmanie Nik Mohamad. Malaysia menyasarkan 43 juta pelawat antarabangsa pada 2025, menjadikan kerjasama ini penting dalam merancakkan sektor pelancongan.
Menurut Ezarisma, Petrosains akan memperkukuh kedudukan Petrosains, The Discovery Centre dan Menara Berkembar PETRONAS melalui penceritaan, pendidikan, serta pengalaman interaktif.
“Menjelang VM2026, kami berhasrat mempersembahkan tarikan moden dan pelancongan berteraskan pendidikan yang menyerlahkan keunikan Malaysia,” katanya.
MoC ini merangkumi empat fokus utama termasuk pemasaran dan promosi bersama, pembangunan aset kreatif dengan identiti konsisten, penyertaan dalam pameran pelancongan antarabangsa, serta aktivasi digital dan fizikal di bawah kempen VM2026.
Datuk Manoharan pula menyifatkan kerjasama ini menggabungkan kelebihan rangkaian antarabangsa Tourism Malaysia dengan kepakaran Petrosains dalam sains dan penceritaan bagi menjadikan Menara Berkembar PETRONAS sebagai hab pengalaman bertaraf dunia.
Bersempena majlis itu, Petrosains turut melancarkan identiti baharu lawatan Menara Berkembar PETRONAS dikenali sebagai PETRONAS Twin Towers Sky Xperience (PeTT SkyX) dengan slogan “Heart of A Nation. Peak of Your Journey.”
Antara elemen utama yang ditawarkan termasuk Sky Bridge @ Aras 41, Sky Deck @ Aras 86, aktiviti interaktif di Aras 83 seperti Sky Shop, serta kafe panorama Sky Café yang bakal dibuka.
Setakat Julai 2025, Petrosains, The Discovery Centre menerima lebih 9 juta pengunjung sejak 1999, manakala lawatan Menara Berkembar PETRONAS menarik lebih 8 juta pengunjung sejak 2002.
Menara ikonik setinggi 451.9 meter itu kini juga menjadi ahli ke-54 World Federation of Great Towers (WFGT), sekali gus mengekalkan statusnya sebagai menara berkembar tertinggi dunia yang melambangkan inovasi dan warisan budaya Malaysia.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.













































