PUTRAJAYA, 18 April 2023 (Bernama) — Kerajaan bersetuju memberikan tol RAHMAH percuma selama empat hari untuk dinikmati semua pengguna jalan raya bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tol RAHMAH percuma itu diberikan pada 19 April (Rabu) hingga 21 April (Jumaat) dan juga pada 24 April (Isnin) untuk perjalanan pulang semula ke kampung halaman masing-masing.
Katanya pelaksanaan tol RAHMAH percuma itu akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Anwar berkata butiran lanjut berhubung pelaksanaan tol RAHMAH percuma akan diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi nanti.
Bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan Op Lancar pada 18 and 19 April ini dengan memfokuskan kepada laluan yang dijangka mengalami kesesakan.
Selain itu katanya Op Selamat 20 pula akan dilaksanakan bermula 20 April bagi tempoh tujuh hari dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.
“Bagi tujuan ini, PDRM juga akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan laluan-laluan ‘hotspots’ seperti susur masuk dan keluar di plaza tol misalnya, tidak mengalami kesesakan lalu lintas,” katanya.
Anwar turut mengumumkan yang PDRM akan memberikan Kadar Khas Bayaran Saman bermula 21 April sehingga 21 Mei bagi semua saman trafik PDRM untuk kesalahan tahun 2022 dan sebelumnya.
“Setiap saman boleh dilunaskan dengan kadar harga RM50 dan kadar khas ini tidak terpakai bagi saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 2023,” katanya bahawa PDRM komited untuk terus memastikan keselamatan jalan raya pada tahap yang optimum terutamanya pada musim perayaan.
— BERNAMA