KUALA LUMPUR, 30 Sept 2022 — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan agensi penguat kuasa berkaitan segera melaksanakan siasatan lanjut bagi menyiasat kemungkinan salah laku Tan Sri Tommy Thomas, berhubung pelbagai dakwaan yang terkandung dalam buku yang dihasilkan yang bekas Peguam Negara itu.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan antaranya di bawah Seksyen 124I & Seksyen 203A Kanun Keseksaan; Seksyen 4 Akta Hasutan 1948; Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Dalam kenyataan hari ini, Perdana Menteri berkata Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Dakwaan-Dakwaan Dalam Buku Bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness”, tersebut telah membentangkan laporan siasatan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini.
Pasukan Petugas Khas seterusnya telah mengemukakan beberapa syor untuk pertimbangan kerajaan bagi tujuan tindakan susulan yang wajar diambil, kata beliau.
Menurut Perdana Menteri, laporan tersebut telah disediakan oleh pasukan tersebut dalam tempoh sembilan bulan, bermula Disember 2021 sehingga Ogos 2022, dengan memperincikan setiap dakwaan-dakwaan yang disebut oleh Tommy Thomas dalam bukunya itu.
“Berdasarkan siasatan yang telah dibuat, pasukan ini telah mengkategorikan 19 isu-isu penting yang dikesan dalam buku tersebut kepada empat isu utama iaitu dakwaan ke atas Badan Kehakiman; pendedahan maklumat dan rahsia kerajaan; tindakan tidak sah, salah guna kuasa dan kecuaian professional; dan kenyataan berbaur hasutan,” tambah beliau.
— Akses Malaysia