KUALA LUMPUR, 29 Sept 2022 – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu pemerdagangan manusia yang melibatkan rakyat Malaysia di beberapa buah negara ASEAN.
Menurutnya, beliau telah menerima beberapa video menerusi laman media sosial TikTok mengenai aduan berkenaan kes tersebut dan telah menghantar video berkenaan kepada Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani untuk tindakan segera.
“Saya beri jaminan bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terbaik bagi menyelesaikan isu ini dan tidak akan membiarkan rakyat kita tanpa pembelaan,” kata beliau di laman Facebooknya hari ini.
Perdana Menteri berkata kerajaan serius untuk menyelesaikan isu tersebut dan perkara itu telah dibincangkan di dalam mesyuarat kabinet pada bulan lepas.
“Saya telah menghantar video ini kepada YB Menteri Luar Negeri dan Ketua Polis Negara untuk tindakan segera seterusnya. Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri telah diarahkan mengambil tindakan segera dan lebih agresif,” kata beliau.
Ismail Sabri turut memuat naik video TikTok Setiausaha Agung Pertubuhan Kemasyarakatan Antarabangsa Malaysia Datuk Hishamuddin Hashim, yang meminta kerajaan membantu kedutaan Malaysia terutama di Laos, Kemboja dan Myanmar, dalam usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di bawah sindiket pemerdagangan manusia.
— Akses Malaysia