KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2022 — Kerajaan akan meneliti semula dasar-dasar melibatkan sumber manusia dan modal insan dalam usaha mengekalkan dan menarik bakat berkemahiran ke pasaran kerja tempatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut beliau, Majlis Tindakan Ekonomi yang bermesyuarat hari ini mengakui selain menghadapi cabaran dalam mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, negara kini berdepan saingan dari negara maju yang menawarkan gaji lebih tinggi untuk menarik bakat berkemahiran ke sektor berpotensi tinggi.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan hari ini.
Kerajaan komited menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi yang berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi tempatan, katanya.
Kata beliau, di samping itu, kerajaan juga akan terus berusaha membangunkan bakat masa hadapan bagi pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
“Majlis Tindakan Ekonomi juga bersetuju dengan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya langkah intervensi diambil bagi meningkatkan kedudukan Malaysia ke kedudukan 20 teratas dunia dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index).
Ini selari dengan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).” Kata beliau.
Menurt beliau, satu langkah strategik inovasi akan diwujudkan bagi meningkatkan pengkomersialan teknologi dan inovasi negara berikutan ketidakpadanan bidang berkenaan dengan kehendak industri.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa berusaha memastikan negara sentiasa bergerak maju ke hadapan seiring dengan perubahan teknologi dan memenuhi keperluan semasa pasaran buruh bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia.
— Akses Malaysia
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.
























![Para pemimpin industri berkongsi pandangan mereka mengenai teknologi peralihan terkini dan kesesuaiannya untuk agenda sifar bersih Malaysia di persidangan MUFG N0W. [Dari kiri] Dr Chen Shuin, Naib Presiden Kanan bagi Strategi dan Pembangunan Korporat, Sarawak Energy Berhad; Encik Nelson Samuel, Pengarah Bahagian Teknologi Hijau, MIDA; Motohide Okuda, Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Negara MUFG Malaysia; YBhg. Datuk Sikh Shamsul Ibrahim bin Sikh Abdul Majid, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA); YBhg. Tan Sri Datuk Amar (Dr.) Haji Abdul Aziz bin Dato Haji Husain, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC); Masakazu Osawa, Ketua Eksekutif MUFG bagi rantau APAC; dan Timothy Ong, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak.](https://www.aksesmalaysia.my/mywp22/wp-content/uploads/2025/04/IMG_2116-350x250.jpeg)





















