SHAH ALAM, 19 Ogos 2022 — Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion bagi pelaksanaan pembangunan infrastruktur dan fasiliti penyampaian perkhidmatan di Selangor di bawah Rancangan Boleh Pinda Kedua Tahun 2022 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata antara projek penting yang akan dilaksana adalah lima projek tebatan banjir dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, usaha tersebut akan disegerakan bagi mengelakkan kejadian banjir teruk yang menjejaskan kesejahteraan penduduk, ekonomi negeri dan negara berulang lagi.
âKita tahu di penghujung tahun lepas, banjir besar berlaku di Selangor seperti di Shah Alam, Hulu Langat dan sebagainya… dengan projek tembatan banjir ini, kita percaya banjir besar itu dapat kita elakkan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan turut mengambil langkah proaktif merencana pendekatan baharu termasuk pembinaan infrastruktur yang bersesuaian dan lebih lestari serta menyeluruh di negeri itu.
Menurut beliau, usaha menyediakan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutama kumpulan B40 dan M40 juga terus menjadi agenda penting kerajaan.
Selaras dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, sebanyak 14,329 buah kediaman di Selangor siap dibina setakat Jun lepas menerusi pelbagai program seperti Program Perumahan Rakyat dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia, tambah beliau.