KUALA LUMPUR, 13 Julai 2022 — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengalu-alukan cadangan Menteri Pertanian Arab Saudi, TYT Abdulrahman Abdulmohsen A. AlFadley untuk berkerjasama dalam kerangka keselamatan makanan.
Di laman Facebooknya hari ini, beliau berkata, ini memandangkan Malaysia mempunyai potensi yang besar dalam bidang pertanian termasuk mempunyai banyak tanah yang boleh diusahakan.
“Saya dan TYT AlFadley melihat banyak potensi kerjasama dalam bidang pertanian dan industri makanan yang boleh diterokai bersama,” kata Perdana Menteri yang menerima kunjungan hormat TYT A. AlFadley di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Saya bersetuju Malaysia dan Arab Saudi untuk berkerjasama dalam kerangka kerja keselamatan makanan dengan menubuhkan satu Jawatankuasa Bersama bagi melihat serta merangka dasar berhubung keselamatan makanan,” kata beliau.
Menurut beliau, TYT A.Alfadley juga menyentuh tentang prospek ‘pelaburan berbalik’ yang boleh diterokai oleh Malaysia dalam mengatasi isu keselamatan makanan yang kini dihadapi oleh seluruh dunia.
Ismail Sabri berkata kerajaan Arab Saudi telah menggunakan konsep yang sama dengan negara lain seperti Amerika Syarikat, negara-negara di Selatan Amerika, Ukraine dan Australia.
“TYT AlFadley merasakan kerjasama ini akan memberi manfaat yang meluas kepada kedua-dua negara, malah kepemimpinan Arab Saudi bersedia memberi sokongan terhadap inisiatif keselamatan makanan antara kedua-dua negara,” kata beliau.
Ismail Sabri berkata Malaysia dan Arab Saudi mempunyai hubungan istimewa yang terjalin sejak sekian lama bukan sahaja dalam konteks hubungan antara rakyat kedua-dua negara tetapi juga merangkumi hubungan ekonomi yang luas.
– Akses Malaysia