KUALA LUMPUR, 24 September 2022 — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri berkata Malaysia komited dalam mencapai Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).
Kata beliau: “COVID-19 telah merencatkan usaha kita dalam mencapai SDG. Di sini, saya berdiri sebagai negara membangun menegaskan bahawa pelaksanaan dan kejayaan pembangunan sosioekonomi yang lebih hijau dan mapan akan dicapai dengan sahutan janji yang saksama dan inklusif.
Hakikatnya, teknologi baharu menjadi penggalak kepada sesebuah negara untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. Namun begitu, teknologi baharu ini perlulah bersifat mampu milik oleh negara-negara membangun.” katanya dalam ucapan beliau sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) kali ke -77 di Ibu Pejabat PBB, di New York, pada Jumaat.
Dalam hal ini, beliau berkata Malaysia komited dalam menjalankan tanggungjawab dan peranannya bagi memastikan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar. Dalam konteks ini, pelbagai langkah telah dilaksanakan oleh Malaysia.
Sebagai contoh, kata beliau, dalam industri sawit, Malaysia telah memperkenalkan standard Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) untuk memenuhi keperluan bagi tujuan pembangunan mapan;
Malaysia juga komited untuk mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau, sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2030, katanya.
Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata Malaysia meletakkan sasaran bagi mencapai 31 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui, menjelang 2025. Malaysia juga komited untuk mencapai status negara sifar pelepasan Gas Rumah Hijau seawal tahun 2050;
Dasar Tenaga Negara 2022-2040 telah dilaksanakan di Malaysia, pada 19 September 2022, bagi meningkatkan daya tahan ekonomi makro dan jaminan bekalan tenaga,” kata beliau.
Tambah Ismail Sabri, Malaysia telah bersetuju menubuhkan Pusat SDG Negara bagi mempergiatkan program dan memantau kemajuan SDG.
Beliau juga berkata menurutnya, sebagai satu daripada hanya 17 negara yang memiliki kepelbagaian-bio di dunia, Malaysia sedar tanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara sumber asli kepada generasi yang bakal mewarisi dunia.
Malaysia sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara sumber asli kepada generasi yang bakal mewarisi dunia ini.
Semasa Sidang Kemuncak Bumi pada 1992, katanya, Malaysia telahpun berikrar untuk mempertahankan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada hutannya.
“Selepas tiga dekad, hari ini Malaysia masih mempunyai 54 peratus kawasan hutan di seluruh negara. Peratusan ini akan bertambah berikutan langkah penghutanan semula yang agresif oleh Malaysia.
Bukan sahaja Malaysia, bahkan dunia perlu peka terhadap usaha mencapai Matlamat Pembangunan Mapan 2030,” kata beliau.
Sehubungan itu, katanya, Malaysia mengalu-alukan penganjuran Forum Politik Peringkat Tinggi berkaitan Pembangunan Mapan (HLPF) pada tahun hadapan.
“Usaha ini tepat pada masanya kerana ia memberi peluang kepada kita untuk melihat semula apa yang telah dicapai dan apa yang boleh ditambah baik demi kebaikan Keluarga Dunia,” tambah beliau.
— Akses Malaysia