KUALA LUMPUR, 11 Okt 2022 — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembubaran Parlimen Ke-14 adalah bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan selepas 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar dengan mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ismail Sabri berkata tindakan menteri-menteri ini jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda sekali gus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.
“Keputusan ini (pembubaran Parlimen Ke-14) juga adalah rentetan terhadap perkembangan politik semasa tanah air di mana 12 menteri menunjukkan sikap tidak wajar, mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
Justeru, pembubaran ini bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen Ke-14 sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurut Ismail Sabri, seperti yang beliau jelaskan dalam Perutusan Khas semalam, pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.
Beliau merujuk kepada kenyataan media Istana Negara semalam yang menyatakan Seri Paduka Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.
Beliau juga berkata sejak akhir-akhir ini, ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.
“Malah, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan,” jelas beliau.
Menurut beliau, Muhyiddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.
Beliau berkata kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.
Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang, tambah beliau.
— Akses Malaysia