PUTRAJAYA, 30 Ogos 2022 — Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yakin unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus bagi tahun ini dapat dicapai.
Menurut beliau, momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 dijangka berterusan sehingga penghujung tahun 2022.
“Keputusan Kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi secara keseluruhan dan pembukaan sempadan antarabangsa antara tindakan yang paling tepat untuk melonjakkan kembali kitaran ekonomi.
Hasilnya hari ini, ekonomi Malaysia telah mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua tahun 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus, merupakan yang terbaik di Asia Tenggara,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-18 (MAPPA XVIII) di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit yang kukuh, tahun ke tahun sebanyak 44 peratus kepada RM132.8 bilion pada Jun 2022.
Untuk separuh masa pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik, iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019, kata beliau.
“Kematangan Keluarga Malaysia dan keberkesanan jentera pentadbiran kerajaan melalui pendekatan collaborative mindset, kita dapat memberi fokus untuk memacu semula pemulihan ekonomi negara dengan pantas dan berkesan,” tambah beliau.
— Akses Malaysia