KUALA LUMPUR, 15 Oktober 2026 — Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menghasilkan 85 judul bahan bacaan Braille dan 103 judul buku audio bagi memperluas akses kepada ilmu dan maklumat dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), khususnya mereka yang mengalami masalah penglihatan.
Usaha itu dilaksanakan menerusi mandat PNM sebagai Entiti Yang Diberi Kuasa (Authorised Entity) di bawah Triti Marrakesh, dengan kerjasama pertubuhan berkaitan termasuk Malaysian Association for the Blind (MAB), Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan St. Nicholas Home for the Blind.
Ketua Pengarah PNM, Edy Irwan Zulkafli, berkata usaha berkenaan mencerminkan komitmen institusi itu untuk memperkukuh literasi inklusif dan memastikan akses kepada bahan bacaan tidak terhalang oleh ketidakupayaan fizikal.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup Program Sehari Bersama Orang Kurang Upaya 2026 di PNM di sini, Khamis.
Menurut PNM, penghasilan bahan bacaan berkenaan turut disokong oleh pindaan Akta Hak Cipta 2022 dan pelaksanaan Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685].
Program tahunan itu merupakan kemuncak kepada siri aktiviti yang dilaksanakan sejak Ogos lalu, termasuk pertandingan video naratif, deklamasi sajak dan dendangan syair yang memberi ruang kepada penyertaan serta ekspresi kreatif dalam kalangan komuniti OKU.
Program turut menampilkan sesi podcast Sembang Inklusif bersama Masitah Mohd Affendy, selain pameran teknologi bantu, reruai sukarelawan Sumbang Suara PNM dan perkhidmatan terapi refleksologi oleh komuniti OKU penglihatan.
Inisiatif berkenaan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Matlamat 4 yang menekankan pendidikan berkualiti dan Matlamat 10 bagi mengurangkan ketidaksamarataan.
PNM berkata usaha memperluas bahan bacaan dalam format yang boleh diakses merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk memastikan golongan OKU turut menikmati peluang pembelajaran dan mendapatkan maklumat secara lebih inklusif.
Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































