KUALA LUMPUR, 5 Julai 2023 (Bernama) — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting PRN berkenaan.
Mesyuarat itu diadakan susulan penerimaan notis pembubaran rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada Speaker DUN enam negeri berkenaan.
Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN iaitu pada 22 Jun lepas, diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pada 1 Julai.
— BERNAMA