JELEBU, 16 Ogos 2026 – Seramai 600 peserta menyertai Ekspedisi Memburu Baung Ekor Merah Siri ke-5 (BURU 5.0) di Dataran Empangan Sungai Buloh di sini hari ini bagi mengawal populasi spesies ikan asing pemangsa serta memelihara ekosistem ikan asli di Sungai Triang.
Program yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Jelebu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Ahli Parlimen Jelebu merangkap ADUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata BURU 5.0 bukan sekadar aktiviti rekreasi dan sukan memancing, sebaliknya menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mengurus sumber perikanan secara bertanggungjawab.
“Penyertaan seramai 600 peserta membuktikan aktiviti rekreasi perikanan mempunyai potensi besar untuk menjadi pemangkin ekopelancongan dan memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat. Pada masa sama, program seperti ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melindungi ikan asli dan mengekalkan ekosistem sungai,” kata beliau lagi.
Spesies baung ekor merah atau Hemibagrus wyckioides yang berasal dari Lembangan Sungai Mekong itu mula dikesan di Sungai Triang sejak awal 2022 selepas dipercayai terlepas daripada kolam ternakan susulan banjir besar.
Pengarah Perikanan Negeri Sembilan, Kasim Tawe, berkata rekod pendaratan menunjukkan sebanyak 15 ekor baung merah berjaya ditangkap pada hari pertama program berkenaan, sekaligus menjadikan jumlah tangkapan bagi tahun 2026 sebanyak 40 ekor.
“Baung ekor merah ialah spesies asing dan kehadirannya dalam perairan tempatan berpotensi memberi tekanan kepada ikan asli melalui persaingan mendapatkan makanan dan habitat serta pemangsaan. Justeru, penglibatan komuniti pemancing melalui program seperti BURU 5.0 amat penting dalam membantu usaha pemantauan dan pengurusan spesies asing,” kata beliau lagi.
Sebagai langkah pemuliharaan, sebanyak 10,000 benih ikan baung sungai bernilai RM5,000 turut dilepaskan ke perairan umum bagi memperkukuh populasi ikan tempatan. Selain sukan memancing, ekspedisi itu turut menampilkan aktiviti mengoca ikan di Sungai Buloh sebagai usaha mendedahkan kaedah penangkapan ikan tradisional masyarakat terdahulu kepada generasi muda.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.


































