NIBONG TEBAL, 25 Oktober 2026 – Program Jelajah Negaraku: Aku Kasih Malaysia menjadi platform utama mendekati masyarakat bagi menyemai semangat kenegaraan, memperkukuh perpaduan serta meningkatkan kefahaman rakyat terhadap tanggungjawab bersama dalam membangunkan negara.
Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri Fadhlina Sidek, merasmikan program dua hari berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Profesional) Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Mohd Khailani Ismail.
Fadhlina berkata kecintaan terhadap negara perlu diterjemahkan melalui tindakan nyata merangkumi sikap menghormati kepelbagaian, memelihara keharmonian serta menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.
“Semangat kenegaraan perlu dipupuk melalui penghayatan sejarah negara, penghormatan terhadap perbezaan serta penggunaan media digital secara bertanggungjawab bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat,” kata beliau.
Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri itu membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi secara langsung dengan agensi kerajaan, mendapatkan maklumat perkhidmatan serta mengemukakan pandangan dan keperluan komuniti setempat.
Fadhlina turut menekankan bahawa dalam konteks pendidikan, sekolah, ibu bapa dan komuniti memainkan peranan penting dalam membentuk generasi muda yang cemerlang akademik, bersahsiah, berjati diri, memiliki nilai ihsan serta bertanggungjawab terhadap negara.
“Kerjasama berterusan antara kerajaan dengan masyarakat amat penting dalam memelihara kestabilan, memperkukuh perpaduan dan memastikan pembangunan negara memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat,” kata beliau lagi.
Program ini secara keseluruhan mencerminkan komitmen berterusan untuk memupuk agenda kenegaraan kepada rakyat menerusi penghayatan nilai kesyukuran, perpaduan dan ihsan demi masa depan negara yang sejahtera.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah



































