SEKIJANG, 1 November 2026 – Program MADANI Kita menjadi platform strategik dalam mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, selain memperkukuh hubungan antara agensi kerajaan, pemimpin dan masyarakat setempat.
Majlis perasmian Program MADANI Kita Peringkat Parlimen Sekijang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, di Dewan SJK (C) Jagoh, Segamat, Johor, hari ini.
Program anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKM, Datin Saliza Mokhtar.
Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata program seumpama ini memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan maklumat, mengenali perkhidmatan agensi kerajaan serta menyelesaikan pelbagai urusan secara lebih mudah melalui pendekatan sehenti.
“Aspirasi Malaysia MADANI perlu diterjemahkan melalui amalan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam pentadbiran serta kehidupan bermasyarakat,” kata beliau.
Beliau turut menambah bahawa semangat kenegaraan dan patriotisme perlu diperkukuh dengan menghayati prinsip Rukun Negara, menghormati Perlembagaan Persekutuan serta memelihara keamanan dan keharmonian demi generasi akan datang.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa pembangunan komuniti memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi, pemimpin masyarakat dan rakyat, khususnya dalam memastikan keperluan golongan warga emas, orang kurang upaya, keluarga memerlukan serta golongan belia terus diberikan perhatian.
Program anjuran AKM kali ini disifatkan sebagai komitmen Kerajaan dalam memperluaskan akses perkhidmatan, mendengar suara rakyat dan memperkukuh kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sebuah ruang peribadi untuk merakam idea, berkongsi pengalaman dan mengabadikan hal-hal yang mencuri perhatian. Dikenali dengan nama pena Aidil Abdullah


































