IPOH, 23 Ogos (Bernama) — Barisan Nasional (BN) Perak perlu mencari tonik untuk menambah sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di samping mengekalkan 27 kerusi yang telah dimenangi bagi membentuk kerajaan negeri yang kukuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sembilan kerusi tersebut dipecahkan kepada tier satu membabitkan lima kerusi yang tewas dengan majoriti kurang dari 1,000 undi manakala tier dua untuk empat lagi kerusi.
Beliau berkata bagi kerusi Parlimen pula, BN Perak juga perlu menambah lima lagi kerusi dan mengekalkan 11 kerusi yang dimenangi sebelum ini.
“Kita ingin tubuh kerajaan di Perak dengan majoriti selesa. Jadi saya nasihatkan semua, supaya ketepikan kepentingan peribadi dan salah faham. Keutamaan kita adalah menang di PRU dan tubuh kerajaan,“ katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan Jentera PRU15 BN Perak di sini malam semalam.
Pada PRU14, BN Perak memenangi 27 daripada 59 kerusi DUN dan 11 daripada 24 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Umum PRU15 BN berkata melihat kepada kesiapsiagaan jentera hasil tinjauannya ke 11 negeri termasuk Perak, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Perdana Menteri tunggu quesama ada kita bersedia atau tidak. Tidak guna masuk PRU kalau tidak sedia kerana PRU umpama masuk perang dan kita kena menang selain bersedia. Jangan sia-sia masuk perang kalau tidak bersedia untuk menang,” katanya.
Turut hadir Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M.Saravanan dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sementara itu, Mohamad berkata perjumpaan Presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua-ketua Bahagian UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) semalam disifatkan sebagai perjumpaan biasa dan tidak membabitkan apa-apa usul.
“UMNO ini tidak boleh buat perjumpaan. Nanti orang buat macam-macam spekulasi. Tidak boleh kami duduk sama-sama, orang cemburu hati dengan kita. Parti lain pun kumpul hari-hari, tiada pula tanya. Bila orang UMNO kumpul, ada yang kata itu ini,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO.
Ditanya mengenai pertemuan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di kediaman rasminya di Seri Perdana malam semalam, Mohamad berkata ia lebih kepada sesi taklimat berkaitan perjalanan parti.
— BERNAMA