PUTRAJAYA, 19 Okt 2022 (Bernama) — Gerakan Tanah Air (GTA) dijangka mengumumkan calon gabungan itu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu hadapan, kata Pengerusi Penaja GTA Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata perbincangan mengenai pengagihan kerusi dalam kalangan anggota gabungan itu sudah dibuat, namun ia belum dimuktamadkan.
“Kemudianlah kita bagi (jumlah kerusi yang akan dipertandingkan GTA dalam PRU15).
“Kita (GTA) akan buat pengumuman minggu hadapan,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai anggaran kerusi yang akan ditandingi GTA, pada sidang media khas di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
Setakat ini untuk GTA yang akan menggunakan logo dan bendera parti Pejuang pada PRU15, hanya Dr Mahathir sudah mengesahkan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi.
Mengulas mengenai calon yang akan disenaraikan GTA, beliau berkata mereka terdiri daripada individu bebas kes mahkamah dan jenayah.
Mengenai kemungkinan GTA bekerjasama dengan Perikatan Nasional dan Bersatu, Dr Mahathir berkata perkara itu hanya berkemungkinan berlaku jika semua pihak mempunyai prinsip yang sama.
“Kalau sependapat dengan kita (GTA) dan tidak bertentangan dasar dan prinsip (GTA) mungkin ada kerjasama,” katanya.
Gabungan GTA terdiri daripada Pejuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tarikh-tarikh urusan PRU15 esok.