KUALA LUMPUR, 2 Nov 2022 — Penyandang kerusi Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan beliau tidak mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Mustapa berkata hasrat untuk tidak menawarkan diri bertanding juga telah dimaklumkan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Keputusan ini dibuat antaranya mengambil kira nasihat doktor mengenai tahap kesihatan yang tidak mengizinkan saya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat yang berkesan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Mustapa turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada kepada rakyat di kawasan Jeli yang sentiasa memberi sokongan dan kerjasama sepanjang beliau merencanakan agenda pembangunan sosiekonomi di kawasan tersebut sejak tahun 1995.
“Sesungguhnya saya amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepada saya selama ini untuk mewakili rakyat di Parlimen Jeli,” katanya.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua sahabat yang menganggotai Jemaah Menteri atas segala bimbingan dan kerjasama yang diberikan sepanjang berada dalam barisan Jemaah Menteri.
“Terima kasih kepada kepimpinan kerajaan, penjawat awam persekutuan dan negeri serta parti atas sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang berkhidmat sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan Ahli Parlimen,” tambah beliau.
Mustapa yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Jeli sejak tahun 1995 dan mempertahankan kerusi berkenaan lima penggal kecuali pada 1999-2004 yang mana beliau tewas kepada calon PAS Mohd Apandi Mohamad.
Pada PRU14, Mustapa menang di kerusi Parlimen Jeli dengan majoriti 6,647 undi menewaskan calon PAS dan PKR.
— Akses Malaysia