KUALA LUMPUR – Penyertaan mahasiswa dalam program sukarelawan bersama golongan istimewa bukan sahaja membantu membangunkan masyarakat inklusif tetapi turut memupuk sikap empati serta meningkatkan daya tahan emosi mereka.
Menurut pakar psikologi dan pendidikan, interaksi langsung dengan kanak-kanak berkeperluan khas mampu membentuk kesedaran sosial yang lebih mendalam dalam kalangan mahasiswa.
Teori Perkembangan Moral oleh Kohlberg, sebagai contoh, menunjukkan bahawa individu yang terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dapat mencapai tahap moral post-konvensional, iaitu bertindak berasaskan nilai universal seperti keadilan dan hak asasi manusia.
Dalam usaha menterjemahkan teori ini kepada amalan, Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya (ASTAR) telah menganjurkan Projek Semarak Prihatin ASTAR untuk Komuniti (SPARK) pada 14 Disember. Program tersebut melibatkan hampir 60 peserta termasuk sukarelawan ASTAR dan kanak-kanak dari Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan, Kuala Lumpur.
Pengarah Projek SPARK, Nur Afifah Ahmad Damanhuri, berkata bahawa inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada mahasiswa dalam membantu golongan kurang bernasib baik, malah meningkatkan kesedaran mereka tentang hak kanak-kanak istimewa, terutama dalam aspek pendidikan dan perkhidmatan sokongan.
“Sebagai pelajar undang-undang, program ini membuka mata kami terhadap isu-isu berkaitan hak asasi kanak-kanak istimewa, termasuk akses kepada pendidikan dan rawatan yang sewajarnya. Ini juga boleh mendorong mahasiswa untuk menjadi advokat atau pendukung dasar yang lebih inklusif,” katanya dalam ucapan penutupan program.
Program selama tiga jam itu merangkumi pelaksanaan empat modul interaktif – Group by Colour, Red Light Green Light, Bowling dan Draw It – yang direka khusus bagi meningkatkan kemahiran kognitif, psikomotor serta komunikasi kanak-kanak istimewa. Aktiviti ini juga membantu membina keyakinan diri mereka selain berfungsi sebagai terapi emosi.
Program diakhiri dengan sesi penyampaian sumbangan oleh Kavin Raj, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan ASTAR, kepada Pengurus Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan, Puan Fauziah Fazira Abdullah.
Rumah kebajikan yang dikendalikan oleh Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Insan (PKKII) ini telah beroperasi sejak 1998 dan menyediakan penjagaan serta intervensi khusus kepada kanak-kanak dengan pelbagai cabaran perkembangan, termasuk autisme, ADHD dan kecederaan otak.
Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh menghubungi Nur Afifah Ahmad Damanhuri di Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya melalui emel ista.ajib@um.edu.my .