YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, hari ini telah melancarkan “PSN Trooperz On The Move” Pusat Sains Negara (PSN) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim Perak bersempena dengan penganjuran Karnival Sains, Inovasi dan Teknologi (STI) MOSTI 2023 yang diadakan di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Turut hadir YB Encik Teh Kok Lim, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Kerajaan Negeri Perak, YBhg Datuk Ts. Dr. Hj. Aminuddin bin Hassim, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Puan Mismah binti Jimbun, Pengarah Pusat Sains Negara.
PSN Trooperz On The Move merupakan bas pameran Pusat Sains Negara (PSN) berkonsepkan hands on, hearts on, minds on yang memulakan misinya sejak tahun 2007. Bas ini dilengkapi dengan 14 bahan pameran interaktif bertemakan STEM bertujuan memupuk pemikiran kreatif dan inovatif seterusnya merangsang minda ke arah pemikiran saintifik.
Bagi menambah baik perkhidmatan pembudayaan STI Negara, PSN telah membangunkan Bas Pameran ini yang siap sepenuhnya pada Oktober 2022. Bas ini membolehkan PSN memenuhi permintaan program dan aktiviti yang semakin meningkat terutama daripada sekolah-sekolah dan komuniti.
Menurut Pengarah PSN, Mismah Jimbun, dengan adanya “PSN Trooperz On The Move”, PSN akan dapat meluaskan capaian PSN ke seluruh pelosok negara bagi memberi pengalaman unik pusat sains kepada masyarakat.
“Menerusi bas pameran ini juga, PSN berharap ia mampu membetulkan persepsi masyarakat tentang sains selain menambahkan keyakinan masyarakat terhadap kepentingan bidang STI kepada pembangunan Malaysia Madani.” katanya.
Tambah beliau, objektif lain PSN Trooperz On The Move adalah untuk meningkatkan pengaksesan maklumat sekaligus meningkatkan tahap literasi sains rakyat Malaysia.