KUALA LUMPUR, 3 Jun 2025 — Tiga syarikat penerbangan kargo utama dunia — Qatar Airways Cargo, IAG Cargo dan MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo) — kini bersedia untuk melancarkan Global Cargo Joint Business secara rasmi menjelang penghujung 2025, tertakluk kepada kelulusan pengawalseliaan.
Pengumuman tersebut dibuat dalam satu sidang media sempena Air Cargo Europe di Munich. Inisiatif strategik ini dijangka membuka laluan baharu, meningkatkan kecekapan operasi dan menawarkan sambungan global yang lebih menyeluruh kepada pelanggan sektor kargo udara di seluruh dunia.
Gabungan rangkaian global tingkatkan ketersambungan perdagangan
Kerjasama tiga penjuru ini bakal menyediakan lebih banyak pilihan laluan dan kapasiti dengan menghubungkan rantau Asia Pasifik, Timur Tengah, Afrika, Benua Kecil India, Eropah dan Amerika. Pada fasa pelancaran, fokus akan diberikan kepada pasaran kargo utama, manakala penglibatan negara tambahan akan ditentukan berdasarkan kelulusan pengawal selia.
Ketiga-tiga syarikat akan menyelaras sistem, proses dan tawaran komersial mereka secara progresif bagi memastikan peralihan yang lancar untuk pelanggan. Ini termasuk penawaran produk yang diselaraskan, penyelesaian digital yang dipertingkatkan, serta program kesetiaan Avios secara gabungan.
Tingkat kecekapan dan perkhidmatan pelanggan
Kerjasama ini juga akan menyepadukan penggunaan pesawat kargo dan ruang kargo pesawat penumpang (belly hold) bagi mengoptimumkan kapasiti sedia ada. Usaha turut diperluas kepada pengendalian darat dan perkhidmatan penghantaran darat yang diselaraskan untuk pengalaman pelanggan yang lebih lancar dan cekap.
Komitmen bersama terhadap misi kemanusiaan
Sebagai sebahagian daripada komitmen tanggungjawab sosial korporat, ketiga-tiga rakan kerjasama juga akan menandatangani perjanjian individu dengan World Food Programme (WFP) — agensi kemanusiaan terbesar dunia dalam memerangi kebuluran. Secara kolektif, mereka akan menyediakan 1,000 tan metrik kapasiti penghantaran secara percuma bagi menyokong pengedaran makanan dan bekalan penting.
“Gabungan rangkaian kami bukan sahaja menjanjikan kecekapan operasi, tetapi juga membolehkan kami menyumbang secara bermakna kepada masyarakat global,” kata Mark Drusch, Ketua Pegawai Kargo Qatar Airways.
Ketua Pegawai Eksekutif IAG Cargo, David Shepherd, turut menegaskan kelebihan kerjasama ini dalam membuka peluang perdagangan baharu yang lebih cekap dan menyeluruh berbanding perjanjian antara syarikat penerbangan secara tradisional (interline).
“Kami komited bukan sahaja kepada pelanggan kami, tetapi juga kepada komuniti yang kami berkhidmat — inilah sebab kami menyokong usaha penting WFP,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Mark Jason Thomas, menyifatkan kerjasama ini sebagai pencapaian penting dalam industri logistik serantau.
“Ini lebih daripada sekadar peluasan rangkaian. Ia adalah langkah untuk mentransformasikan cara pergerakan kargo global. Dengan komitmen terhadap kemanusiaan dan inovasi, kami memperkukuh kedudukan Asia dalam landskap logistik dunia,” katanya.
Virginia Villar Arribas, Timbalan Pengarah Perkongsian Sektor Swasta WFP, turut menyambut baik kerjasama ini dan menyifatkannya sebagai contoh positif bagaimana sektor swasta dapat mempercepatkan tindak balas kemanusiaan.
Pelancaran rasmi kerjasama ini dijangka berlangsung hujung tahun ini selepas kelulusan regulator diperoleh. Perkembangan lanjut akan diumumkan dalam masa terdekat.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































