KUALA LUMPUR, 2 Jun 2023 — Rainforest World Music Festival (RWMF) telah mengumumkan akan kembali dengan festival fizikal sepenuhnya di Kuching, Sarawak, bermula 23 hingga 25 Jun 2023 ini.
Ini merupakan acara fizikal penuh pertama kali sejak 2019.
Tahun ini RWMF terus menjanjikan pengalaman unik yang menggabungkan muzik, budaya, dan alam semula jadi dengan melibatkan persembahan pemuzik tempatan dan antarabangsa seterusnya meraikan kepelbagaian yang luar biasa.
Pengurus Besar Klook Malaysia, Rachel Tan berkata Klook berbangga dinamakan sebagai rakan tiket rasmi untuk RWMF 2023 dan ini menandakan kembalinya RWMF 2023 dengan acara fizikal penuh untuk pertama kali sejak tahun 2019.

“Walaupun (acara fizikal) tergendala sementara waktu atas faktor keadaan global, tahun ini RWMF 2023 menjanjikan hiburan yang terbaik buat semua pengunjung. Ini membuktikan komitmen berterusan Sarawak terhadap pelancongan lestari dan kesinambungan budaya. Kita berada di barisan hadapan dalam mempromosikan budaya yang relevan dan berusaha untuk menyediakan pengalaman yang terbaik buat pelanggan kami,” katanya lagi.
Sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 1998, Rainforest World Music Festival telah menarik banyak pengunjung dan peminat muzik yang ingin melihat sendiri bagaimana keunikan muzik tradisional bersatu dengan muzik kontemporari dunia.
Dengan persembahan dari pelbagai jemputan bakat-bakat seni dari seluruh dunia, festival ini telah menjadi satu tapak penyatuan pelbagai budaya, seterusnya mewujudkan suasana perpaduan dan keraian.
Tahun ini RWMF 2023 menampilkan pengalaman yang lebih bermakna dan tidak dapat dilupakan dengan barisan pemuzik dan artis terkenal antarabangsa seperti Big Mountain, Afriquoi, Chatusram, Safi Theatre, Zee Avi, dan banyak lagi. RWMF 2023 bakal melibatkan 199 orang pemuzik dari 12 negara di empat benua yang bakal membawakan kepelbagaian bunyi, irama dan tradisi global.
Selain itu, RWMF 2023 turut menawarkan pengisian lain seperti bengkel budaya, jualan makanan dan hasil kraf dan pelbagai aktiviti menarik yang lain.
Pengunjung boleh merasai sendiri suasana kemeriahan di Kampung Budaya Sarawak, sebuah muzium hidup yang mempersembahkan kumpulan etnik yang pelbagai dengan keunikan tradisi masing-masing.
Antara persembahan yang paling dinanti-nantikan di RWMF 2023 adalah kemunculan pemenang Anugerah Grammy terkemuka, ‘Gipsy Kings,’ yang akan menampilkan Tonino Baliardo dari Perancis.
Ekstravaganza muzik ini bakal memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan hasil gabungan bakat ikonik antarabangsa dengan artis tempatan yang sedang meningkat naik.
Tiket RWM 2023 boleh didapatkan sekarang melalui platform Klook.