KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – RAM Ratings mengekalkan penarafan kredit korporat Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) pada AA3 serta penarafan jangka pendek P1, dengan prospek stabil. Penarafan tersebut turut merangkumi Program Kertas Komersial/Nota Jangka Sederhana Konvensional dan Islam bernilai RM2 bilion yang mula diterbitkan pada 2022.
Pengekalan penarafan ini mengukuhkan kedudukan MDV sebagai peneraju pembiayaan teknologi negara, didokong oleh sokongan kerajaan yang kukuh serta asas kewangan yang teguh. Ia juga mencerminkan peningkatan prestasi kewangan tahun 2024 dan rekod konsisten MDV dalam menyokong syarikat berasaskan teknologi serta syarikat pemula niaga di Malaysia, khususnya dalam sektor-sektor mandat MDV yang lazimnya kurang mendapat akses pembiayaan daripada institusi kewangan konvensional.
Pembiayaan MDV terus memainkan peranan penting dalam memacu inovasi, memajukan agenda digital negara dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Rizal Fauzi, berkata, “Pengesahan semula penarafan AA3/Stable/P1 membuktikan MDV berada di landasan yang tepat dalam rancangannya untuk memperkukuhkan sokongan kepada sektor utama yang diberi mandat kerajaan, meliputi ICT, bioteknologi, teknologi hijau, teknologi baharu dan syarikat pemula niaga. Seiring langkah negara mempercepatkan peralihan tenaga, MDV juga bersedia membiayai lebih banyak syarikat yang melaksanakan projek peralihan tenaga dan pertumbuhan digital selaras dengan agenda inovasi serta kelestarian jangka panjang negara.”
Beliau menambah, “Penarafan ini bukan sahaja membuktikan keupayaan kami mendapatkan dana luaran, malah menunjukkan keyakinan berterusan kerajaan terhadap peranan MDV sebagai pembiaya teknologi utama negara. Dengan penarafan program sukuk dan bon RM2 bilion, kapasiti kami untuk membiayai industri mandat berimpak tinggi kini semakin kukuh.“
Sejak menerima penarafan kredit pertama pada 2019, MDV telah berusaha mencapai kemandirian kewangan di samping melaksanakan misi strategik untuk merapatkan jurang pembiayaan sektor teknologi yang kurang diberi perhatian. Usaha ini termasuk menyokong projek inovatif dalam sektor mandat yang penting bagi mempelbagaikan asas ekonomi Malaysia serta membangunkan industri berpotensi tinggi.
Dengan penarafan ini, MDV berada pada kedudukan lebih kukuh untuk terus memacu transformasi negara dalam bidang teknologi. Keupayaan MDV diperkasakan bagi memastikan sokongan berterusan disalurkan kepada penerimagunaan teknologi, pertumbuhan lestari dan ketahanan ekonomi dalam kerangka pembangunan negara yang menyeluruh.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.
















































