PUTRAJAYA, 30 Julai 2022 — Hasrat beberapa negeri yang mahu meminda Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 turut dikuatkuasakan di negeri adalah langkah yang sihat bagi memperkukuhkan demokrasi.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, beliau menyambut baik hasrat tersebut.
Beliau berkata pihaknya dimaklumkan empat negeri akan meminda Perlembagaan mereka iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.
“Apabila rang undang-undang tersebut dikuatkuasakan kelak, ia tidak memaksa mana-mana negeri untuk mengikut tetapi mereka diberi kebebasan sama ada mahu mengikuti atau tidak.
Kita di peringkat kerajaan Persekutuan tidak mengambil kuasa ini dari negeri.” kata beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pindaan telah dibuat kepada Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan serta kemasukan Fasal 1 yang kuat kuasa peruntukan ini di peringkat negeri hanya boleh dibuat selepas mendapat perkenan Raja atau Yang Dipertua Negeri.
Pada Khamis lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi mewujudkan peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, mendapat sokongan lebih dua pertiga ahli dewan dengan memperoleh sokongan 209 daripada 220 Ahli Parlimen.
- Akses Malaysia