Hari yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia hampir tiba, dan bakal disemarakkan lagi dengan sambutan ambang penuh keriuhan dan kemeriahan!
Malaysia bakal menikmati hujung minggu yang panjang bulan ini dengan sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Istimewanya, sambutan tahun ini akan diadakan di Kota Kinabalu, Sabah.

Menjelang tarikh ini, Program Kembara RIUH BAH! bakal menemui penduduk kota ini dengan pelbagai aktiviti menarik!
Jadi jika anda sedang merancang percutian ke negeri ini, pasti sudah banyak aktiviti menarik yang dimasukkan ke dalam jadual perjalanan anda. Tapi tahu tak, ada satu lagi acara yang anda mesti sertai jika percutian anda jatuh pada hujung minggu ini (16 September)?
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua tahu Sabah adalah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan seni. Ia mempunyai keunikan tersendiri dengan suasana yang sangat berbeza berbanding Semenanjung Malaysia, berikutan faktor-faktor demografi dan geografinya yang terletak di kepulauan Borneo.

Dari 14 hingga 15 September 2024, RIUH BAH! kembali lagi dengan edisi kedua yang bakal memeriahkan suasana Hari Malaysia. Edisi kali ini mengetengahkan elemen budaya Sabah yang unik, menjanjikan pelbagai aktiviti menarik bagi menyokong penggiat seni tempatan serta usahawan industri kreatif. Jom kita tengok apa aktiviti yang ada!
- Mengait Beg Bunga oleh Jabing Studio
- Kitar Semula Sisa Plastik ke Rantai Kunci oleh LJD
- Lukisan Kartun oleh Kartunis Binjai
- Pembuatan Lilin oleh Earthglo Supply
- Kitar Semula Kapsul Nespresso menjadi Magnet Peti Sejuk oleh Japson
- Pembuatan dan Permainan Seruling oleh Seruling Alam
- Bahasa Isyarat Malaysia oleh Sabah Society for the Deaf
Semua aktiviti ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu, bermula dari jam 3 petang hingga 11 malam.


Seperti Kembara RIUH sebelum ini, RIUH BAH! menyambut kedatangan semua pengunjung, sama ada tempatan mahupun pelancong luar negara, untuk menyaksikan keindahan Sabah dalam suasana komuniti yang mesra.
RIUH bukan sekadar program hiburan, tetapi ia juga memartabatkan nilai seni dan budaya tempatan. Di Sabah, pastinya nilai estetika ini akan diraikan dengan penuh semangat!
Persembahan artis terkenal tanah air
RIUH BAH! turut menampilkan persembahan oleh artis terkenal tanah air seperti Anuar Zain, Iamneeta, Insomniacks, Estranged, Midnight Fusic, dan artis tempatan Sabah seperti TUJULOCA, ISOBAHTOS, Abu Bakar Ellah, dan ramai lagi!

Mengenai Kembara RIUH
Kembara RIUH merupakan inisiatif yang dibangunkan oleh Kementerian Komunikasi Malaysia melalui MyCreative Ventures (MyCV). Antara objektif utamanya adalah membangunkan program yang dapat menyokong penggiat seni dan kreatif tempatan, termasuk bakat nyanyian yang diharapkan memberi impak positif kepada masyarakat tempatan, sekaligus merancakkan ekonomi jingga negara.

Aktiviti menarik bersama BASKL
Edisi kali ini, RIUH BAH! turut bekerjasama dengan Bandar Aktiviti Seni Kuala Lumpur (BASKL) untuk menambah seri program ini.
BASKL adalah inisiatif yang bertujuan mempromosikan seni, budaya, dan aktiviti kreatif.
Menerusi ‘Artscursion’, gabungan antara Arts (seni) dan Excursion (jelajah), program ini dibawa bersama ke Kota Kinabalu, berfungsi sebagai program satelit bagi menghubungkan komuniti setempat untuk lebih dekat mengenali seni.
Pada hari pertama, BASKL akan mengadakan City Art Tour dan Gallery Tour di sekitar Kota Kinabalu untuk pengunjung yang ingin mendalami seni dan budaya. Pada hari kedua, aktiviti “Boleh Masak Bah Kalau Kau”, iaitu sesi memasak bersama Halimah dan Lenny, yang akan berkongsi tentang citarasa tempatan melalui demonstrasi masakan ambuyat.
Jika Kota Kinabalu merupakan destinasi anda pada Hari Malaysia, jangan lepaskan peluang ini untuk menikmati dunia seni dan budaya. Percutian anda pasti akan lebih bermakna dengan pelbagai kenangan manis.
Jom, kita bersama memeriahkan budaya tempatan!