Mengangkat semangat kebersamaan meraikan Aidilfitri, kumpulan pemuzik gabungan yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Ska Syndicate menerusi projek “The Raya Syndicate” telah melancarkan single terbaharu berjudul “KITA DI AIDILFITRI” pada 13 Mac lalu di bawah label GuaPunya Muzik.
Single ini diterbitkan oleh Mohd Azmi dengan barisan artis dan pemuzik berpengalaman tempatan dalam satu kolaborasi khas bagi meraikan perpaduan serta identiti budaya pada musim perayaan tahun ini.
Secara kronologinya, perancangan lagu ini dizahirkan dengan menghimpunkan nama-nama besar daripada pelbagai kumpulan indie dan arus perdana.
Barisan pemuzik yang menjayakan projek ini termasuklah Leaism selaku vokalis utama, Deo dari Skunjass (gitar), Gfat dari Meet Uncle Hussain (bes), Edy dari Coca D Monday (papan kekunci), Karim dari The GoodThings (timbales), Shah dari Mojo Band (dram), serta Izz dari Budak Nakal Hujung Simpang (bahagian hon). Penampilan vokal latar pula diserikan oleh Widy (Gerhana Ska Cinta) dan Eija (Anugerah).
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh GuaPunya Muzik, lagu ini membawa kelainan dengan menggabungkan rentak rancak genre ska yang diiringi sentuhan santai reggae.
“KITA DI AIDILFITRI menampilkan irama yang segar tetapi masih berakar pada jiwa tempatan. Lagu ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah ekspresi budaya yang menghubungkan elemen tradisi dengan pendekatan muzik moden,” jelas pihak label tersebut.
Gabungan kemahiran barisan pemuzik ini telah mewujudkan susunan muzik yang dinamik dan penuh bertenaga, sekali gus mencerminkan semangat kolektif yang utuh dalam industri muzik tempatan.
Lagu raya berentak alternatif ini diedarkan ke seluruh dunia dan kini sedia untuk didengari di platform muzik digital.

Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































