KUALA LUMPUR, 7 September 2026 – Saucony Malaysia melakar sejarah baharu dalam komuniti larian tempatan menerusi penganjuran julung kali acara larian berganti-ganti The Maze di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Aset Keretapi (RAC), salah satu agensi di bawah Kementerian Pengangkutan, menghimpunkan seramai 20 kelab larian yang berentap menerusi laluan berhalangan khas merentasi platform dan laluan legar bangunan warisan ikonik berkenaan.
Penganjuran ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi perlumbaan larian pertama seumpamanya yang diadakan di dalam premis bersejarah Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Ketua Negara Saucony Malaysia, Regine Wong, berkata penganjuran The Maze bertujuan membawakan budaya larian ke dalam ruang unik yang tidak dijangka menerusi semangat komuniti dan gaya hidup.
“Bagi edisi Kuala Lumpur, kami kekal berpegang kepada semangat tersebut dengan menterjemahkan salah satu mercu tanda paling ikonik dan bersejarah di Kuala Lumpur sebagai litar perlumbaan The Maze yang pertama di Malaysia,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial RAC Malaysia, Yang Mulia Tengku Nadia Azrina Tengku Amran, meluahkan keterujaan atas kerjasama ini yang membolehkan aset warisan keretapi dimanfaatkan bagi menyokong aktiviti komuniti larian.
“Bagi pelari, ini adalah acara yang sangat istimewa. Selain menjadi larian The Maze pertama di Malaysia, kita turut mencipta sejarah kerana ini merupakan kali pertama kami membuka pintu untuk mengadakan perlumbaan sebenar di dalam Stesen Keretapi Kuala Lumpur,” kata beliau.
Penganjuran acara ini turut selari dengan seruan jenama Saucony iaitu “Run As One” yang menekankan penyatuan komuniti melalui sukan dan budaya larian mampan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.



































