SELANGOR, 4 Mei 2026 – Kerajaan Negeri Selangor secara rasmi membuka permohonan bagi Geran Tahun Melawat Selangor 2026 dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM600,000 bagi memperkukuh pelaksanaan kempen pelancongan negeri berkenaan.
Inisiatif tersebut yang bermula pada 4 Mei hingga 31 Oktober 2026 dijangka bakal memberikan manfaat kepada sebanyak 59 program serta acara pelancongan di seluruh negeri. Langkah ini diambil bagi memastikan ekosistem pelancongan Selangor kekal berdaya saing dalam menyambut kedatangan pelancong pada tahun hadapan.
Tawaran geran ini dibuka kepada empat kategori pemohon yang merangkumi syarikat serta organisasi swasta tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang tidak menerima sebarang peruntukan promosi daripada kerajaan. Selain itu, anak syarikat di bawah kerajaan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan turut dipelawa untuk mengemukakan permohonan mereka.
Bagi menyesuaikan dengan skala penganjuran program, pihak kerajaan negeri telah membahagikan geran tersebut kepada lima kategori khusus.
Kategori berkenaan terdiri daripada Geran Pusing Selangor Dulu bernilai RM3,000, Geran Discover Selangor sebanyak RM5,000, serta Geran Splendid Selangor yang berjumlah RM10,000. Manakala bagi program berskala lebih besar, Geran Surprising Selangor menawarkan RM15,000 dan Geran Selangor Kan Ada memperuntukkan sebanyak RM20,000.
Pemohon yang berjaya akan dinilai berdasarkan cadangan program yang berimpak tinggi serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekosistem pelancongan negeri.
Keutamaan akan diberikan kepada penganjuran yang mampu memberi kesan sosioekonomi di peringkat domestik melalui kolaborasi pelbagai pihak, atau program yang melibatkan kehadiran pelancong serta agensi antarabangsa di Selangor.
Untuk rekod, sebanyak 30 agensi telah menerima manfaat daripada inisiatif ini pada tahun 2025 dengan jumlah agihan geran sebanyak RM300,000. Peningkatan peruntukan dua kali ganda pada tahun ini diharapkan dapat merangsang pertumbuhan jumlah pelancong, selaras dengan aspirasi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 melalui pemerkasaan lebih banyak acara pelancongan tempatan yang berkualiti.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.






















![[Dari Kiri] Datuk Ir Ts Sudarnoto bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC); YB Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Sarawak; Profesor Jugdutt Singh, Ahli Lembaga Pengarah SDEC; Aizat Rahim, pengasas bersama dan Pengarah Urusan Borong.](https://www.aksesmalaysia.my/mywp22/wp-content/uploads/2024/10/PubliCT-photo-350x250.jpg)






















