SELANGOR, 29 Ogos 2023 — Tourism Selangor, agensi promosi pelancongan negeri Selangor, akan kembali dengan Fiesta Pusing Selangor Dulu dalam Pameran MATTA di MITEC Kuala Lumpur dari 1 hingga 3 September 2023.
Fiesta Pusing Selangor Dulu akan menampilkan persembahan tradisional seperti Tarian Waristari, Joget Gradung, Tarian Beradat, dan Seruling Hidung Buluh Perindu.
Selain itu, pengunjung juga akan berpeluang mengambil bahagian dalam kuiz, sesi suai kenal, dan melihat sendiri demonstrasi interaktif sempena pengumuman Selangor sebagai Destinasi Pilihan Malaysia bagi Pameran MATTA.
Fiesta ini turut mendapat sokongan daripada GL Play, rakan strategik Tourism Selangor.
Duta kempen Pusing Selangor Dulu, Che Puan Juliana Evans, akan membuat penampilan istimewa semasa fiesta ini nanti.
Che Puan Juliana Evans telah mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut sebagai duta rasmi kempen Pusing Selangor Dulu.
Selangor telah mencatatkan lebih 22 Juta pelawat mengunjungi negeri ini pada tahun 2022, menjadikan Selangor destinasi yang paling popular di Malaysia sejak 2021.
Bonda Rozita, pengasas Rumah Hutan Terapi Alam dan Jamu Ratu Malaya, juga akan memberikan baucar pelancongan ke Rumah Hutan Terapi Alam yang terletak di Batang Kali, Selangor, dalam satu sesi suai kenal sempena Fiesta Pusing Selangor Dulu.
Rumah Hutan Terapi Alam merupakan salah satu tarikan terbaharu di Selangor yang menawarkan pengalaman eko pelancongan.
Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, berkata Selangor menjangkakan peningkatan sebanyak 70,000 pengunjung ke Pavilion Selangor dengan peningkatan keuntungan sebanyak 10% berbanding edisi pertama Pameran MATTA pada bulan Mac yang lalu melalui penyertaan lebih 20 tarikan pelancongan di Pavilion Selangor.
Pelbagai tarikan seperti Taman Tema SplashMania, Rumah Hutan Terapi Alam, GM Klang, Jumpstreet Asia, Chocolate Museum, Selangor Fruit Valley, Hotel Eastin, Farm Fresh@UPM, Sky Mirror, Selangor Hop On Hop Off, dan banyak lagi akan dibawakan di Pavilion Selangor. Tourism Selangor juga akan mempamerkan pelbagai tarikan dan aktiviti bagi Pameran MATTA Edisi Kedua ini pada bulan September akan datang.
Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik sehingga RM 5,000 dengan menyertai Pertandingan TikTok Tourism Selangor. Selain itu, pengunjung juga berpeluang merebut diskaun harga sehingga 50% bagi pakej-pakej pelancongan di Pavilion Selangor daripada operator-produk pelancongan yang terlibat.