SHAH ALAM, 19 Januari 2026 – Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan kesinambungan kempen Tahun Melawat Selangor sehingga tahun 2026, selaras dengan agenda nasional Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Langkah strategik ini diambil bagi memperkukuh kedudukan Selangor sebagai pintu masuk utama negara, dengan sasaran ketibaan 9 juta pelancong pada tahun ini.
Sasaran tersebut ditetapkan susulan prestasi memberangsangkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025, di mana negeri itu berjaya mencapai 80 peratus daripada sasaran 8 juta pengunjung seawal September tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, pelanjutan kempen ini membolehkan pihaknya memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan baharu serta mempererat kerjasama dengan pemain industri.
“Kami memilih untuk lebih ke hadapan dengan semangat yang baharu. Ini membolehkan kami memperkenalkan lebih banyak pengalaman terbaru dan menggalakkan para pelancong untuk terus kembali ke Negeri Selangor,” katanya.
Sepanjang tahun 2026, lebih 90 acara pelancongan telah dirangka untuk berlangsung hampir setiap minggu. Antara acara ikonik yang bakal kembali memeriahkan kalendar pelancongan negeri termasuk Selangor Travel Fair, Selangor Food Mega Festival, Selangor Coffee Festival dan Festival Sawah Padi Selangor.
Dalam pada itu, Yee Ling menegaskan bahawa pelancongan berasaskan komuniti akan terus menjadi tunjang strategi negeri.
“Program Hos Komuniti Setempat Selangor dijangka diperluaskan pada tahun 2026 susulan pelantikan 49 hos komuniti pada tahun sebelumnya.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa komuniti setempat sebagai pencerita dan duta destinasi, sambil mengetengahkan pengalaman autentik seperti kehidupan desa, makanan tradisional dan warisan,” jelasnya.
Sebagai penyumbang utama kepada sasaran nasional 47 juta pelancong sempena TMM2026, Selangor memanfaatkan kelebihannya sebagai hab perhubungan antarabangsa yang menawarkan gabungan tarikan bandar, alam semula jadi dan kepelbagaian budaya.

Akses Malaysia menyediakan berita terkini di dalam Malaysia dan luar negeri termasuk maklumat tentang usaha-usaha kerajaan, korporat, institusi pengajian, kampus, isu-isu global, ekonomi, tren terkini, dan pelbagai lagi.


































