SERDANG, 31 Julai 2022 — Sembilan Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan nilai pelaburan melebihi RM4 bilion akan dimeterai Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan pemain industri menerusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Pemeteraian MoU itu akan membabitkan pemain industri dalam dan luar negara sepanjang penganjuran pameran tersebut dari 4 hingga 14 Ogos ini,” katanya selepas melawat tapak MAHA 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini, menurut laporan Bernama.
MAHA 2022 akan dimeriahkan dengan lapan laman pertanian sebagai tarikan pengunjung iaitu Laman Perikanan, Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Herba dan Sayur, Laman Buah-buahan, Laman Nanas, Laman Jentera dan Laman Florikultur.
MAHA 2022 yang bertemakan ‘Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan’ akan mengetengahkan banyak pendekatan baharu dan mekanisasi termasuk Internet benda (IoT) dan penemuan teknologi baharu dalam mempertingkatkan produktiviti.
— Akses Malaysia