TANJONG MALIM, 21 Ogos 2026 – Seramai 1,107 Pegawai Kadet Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) menerima pentauliahan sempena Majlis Istiadat Pentauliahan KOR SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah UPSI itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Hajah Rubiah Wang.
Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Mohammad Abiddin Abd Rahman, berkata pentauliahan berkenaan menjadi permulaan kepada amanah dan tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat serta memperkukuh budaya kesiapsiagaan awam.
“Pentauliahan ini bukan sekadar satu pengiktirafan terhadap kejayaan menamatkan latihan, malah merupakan permulaan kepada satu amanah dan tanggungjawab untuk terus menyumbang kepada masyarakat, memperkukuh budaya kesiapsiagaan serta mendukung semangat Pertahanan Awam dalam apa jua bidang yang diceburi,” kata beliau.
Beliau menambah, pembangunan KOR SISPA merupakan hasil kerjasama strategik antara APM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melahirkan generasi muda yang bukan sahaja berdisiplin dan berkemahiran, malah mempunyai jiwa sukarelawan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Piala Ketua Pesuruhjaya Perdana kepada Leftenan Muda (PA) Ahmad Muhammad Jasmi dari UPSI, selain penganugerahan secara anumerta kepada waris dua pegawai kadet Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Allahyarham Leftenan Muda (PA) Iqbal Hansun Halimi dan Allahyarham Leftenan Muda (PA) Aiman Hakimi Rosli.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.

































