SHAH ALAM, 4 Disember 2025 – Skyhill Clinic hari ini melancarkan siri travelog inspirasi bertajuk ‘The Orchid Journey’, sebuah naskhah yang menggabungkan tiga tokoh wanita berpengaruh tanah air dalam misi mengupas keseimbangan hidup wanita masa kini.
Siri ini menampilkan Penerbit Eksekutif merangkap pakar perubatan hormon, Dr. Linda Mat Hassin; pendakwah bebas, Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa; serta pakar kepimpinan dan pembangunan organisasi, Datuk Dr. Faridah Hanim Haron.
Travelog yang berlatarbelakangkan bandar raya Tokyo, Jepun dan Bandung, Indonesia ini bakal menemui penonton bermula 5 Januari 2026 menerusi saluran YouTube rasmi Skyhill Clinic.
Dr. Linda berkata, penerbitan siri ini bukan sekadar dokumentasi pelancongan semata-mata, sebaliknya ia merupakan satu bentuk pencarian ilmu dan kekuatan dalaman bagi mendepani cabaran dunia moden.
“Wanita hari ini hidup di antara dua dunia, satu dunia yang menuntut produktiviti dan prestasi, dan satu lagi dunia jiwa dalaman yang mendambakan ketenangan dan makna.
“The Orchid Journey adalah jambatan antara keduanya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran siri tersebut di sini, hari ini.
Siri ini mengandungi 20 episod dengan durasi antara 20 hingga 25 minit setiap satu, memaparkan perbincangan mendalam mengenai topik kepimpinan, tekanan hidup, keseimbangan hormon, kesihatan mental, serta peranan Muslimah dalam kerjaya dan keluarga.
Dalam majlis yang sama, Skyhill Clinic turut mengumumkan pelantikan rasmi Datuk Dr. Ustazah Norhafizah Musa sebagai Ikon Syariah Skyhill Clinic, manakala Datuk Dr. Faridah Hanim Haron dilantik sebagai Penasihat Korporat. Pelantikan ini dilihat sebagai simbol kolaborasi strategik dalam memperkukuh nilai profesionalisme, kerohanian, dan kepimpinan organisasi tersebut.
Penerbitan The Orchid Journey turut mendapat sokongan pelbagai rakan strategik termasuk Siti Khadijah sebagai Rakan Rasmi Busana Muslimah, AMPAC (Rakan Latihan Rasmi), MedikGO (Rakan Portal Kesihatan Rasmi), Linheal (Rakan Suplemen Halal), Casalwa (Rakan Butik Rasmi), dan Brainy Bunch (Rakan Pendidikan Awal Kanak-Kanak).
Orang ramai boleh mula menonton siri inspirasi ini secara percuma di platform YouTube Skyhill Clinic bermula awal tahun hadapan.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.














































