HULU LANGAT, 10 Mei 2026 – SME Corp. Malaysia memperuntukkan dana sebanyak RM12 juta bagi memperkasa 500 usahawan belia Bumiputera di bawah Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera Skala (TUBE-S) yang berlangsung secara serentak di seluruh negara.
Program yang dilaksanakan bermula 4 hingga 10 Mei itu membabitkan tiga zon utama iaitu Semenanjung, Sabah, dan Sarawak bagi melatih golongan belia berumur antara 18 hingga 30 tahun.
Inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ini bertujuan untuk memastikan kelangsungan dan daya saing perniagaan tempatan melalui latihan keusahawanan yang komprehensif.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal bin Dato’ Nainy, berkata program TUBE yang dimulakan sejak tahun 2014 telah terbukti menjadi inisiatif Kerajaan berimpak tinggi dalam melatih usahawan belia Bumiputera di negara ini.
“Sehingga tahun 2025, seramai 9,043 belia telah mendapat manfaat, melahirkan sebanyak 8,805 perniagaan baharu serta penciptaan lebih 20,000 peluang pekerjaan. Malah, usahawan belia di bawah program ini telah berjaya menjana jualan terkumpul mencecah RM252 juta setakat ini,” kata beliau ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Penutupan Program TUBE-S dan Program Tunas Usahawan (PROTAS) MAIWP Tahun 2026 di Lembah Azwen Resort, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa falsafah SME Corp. Malaysia adalah untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bermula daripada peringkat awal sehingga mereka mampu berdikari sebagai pemain industri yang berjaya.
“Kami bukan sekadar memberi geran, tetapi membina keyakinan, disiplin dan daya tahan. Saya juga menyeru agar peserta program menjadikan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini sebagai bekalan paling bernilai yang perlu dibawa pulang dan diamalkan dalam perniagaan,” ujar beliau lagi.
Sesi latihan bagi Zon Semenanjung telah disertai oleh seramai 342 belia Bumiputera bersama 50 usahawan asnaf di bawah Program PROTAS anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Sementara itu, program di Sabah dan Sarawak pula masing-masing berjaya melatih seramai 102 dan 43 peserta belia.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Tuan Haji Rahman bin Mohd Din; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi bin Yahaya; serta Rektor UiTM Cawangan Kedah, Prof Madya Dr. Mahazir Ismail.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.










































