KUALA LUMPUR, 4 Februari 2025 – Dengan separuh daripada populasi usia bekerja dijangka menghidap kanser, tempat kerja kini menjadi sumber sokongan yang semakin penting bagi pekerja yang menghadapi penyakit ini.
Sempena Hari Kanser Sedunia hari ini, International SOS menggesa organisasi untuk menangani kesan kanser terhadap tenaga kerja dengan melaksanakan program sokongan komprehensif dalam strategi mewujudkan kesejahteraan pekerja mereka.
Kanser berkaitan tempat kerja kian membimbangkan di peringkat global, dengan kadar pertumbuhan di Eropah Tengah dan beberapa bahagian Asia semakin menghampiri tahap di Eropah Barat, Australia, dan New Zealand.
Namun, banyak organisasi masih belum bersedia. Di United Kingdom, misalnya, 96% organisasi tidak mempunyai polisi khusus mengenai kanser, manakala 77% pekerja yang menghidap atau terkesan oleh kanser mendapati manfaat yang disediakan tidak mencukupi.
Data Bantuan Global International SOS (2022-2024) menunjukkan bahawa kanser payudara (28%) dan kanser prostat (6.27%) adalah antara permohonan bantuan berkaitan kanser yang paling kerap diterima. Ini menekankan keperluan untuk sokongan yang lebih tersasar.
Menurut Pengarah Perubatan International SOS, Dr Kate O’Reilly, jurang dalam sokongan terhadap pekerja yang menghidap kanser menunjukkan keperluan mendesak bagi strategi yang lebih menyeluruh dalam program kesejahteraan pekerja.
“Mendidik pekerja mengenai risiko kanser, menggalakkan gaya hidup sihat serta mengutamakan pengesanan awal adalah langkah penting bagi mengurangkan risiko kanser dan memastikan pekerja mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang perjalanan kesihatan mereka,” katanya.
International SOS mengesyorkan pendekatan 5C’s of Cancer Workplace Support (5C Sokongan Kanser di Tempat Kerja) bagi memperkukuh kesejahteraan tenaga kerja:
- (Champion) Perkasa kesedaran dan pencegahan: Mendidik pekerja mengenai pencegahan kanser, pengesanan awal serta sumber yang tersedia melalui pelbagai platform komunikasi.
- (Care) Peduli dan sokong: Menyediakan akses kepada saringan, sokongan perubatan, khidmat kaunseling serta fleksibiliti kerja bagi membantu pekerja menjalani rawatan.
- (Communication) Komunikasi dan kolaborasi: Mewujudkan persekitaran yang menyokong, di mana pekerja boleh berbincang mengenai kesihatan mereka tanpa rasa takut atau stigma.
- (Conduct) Kendali penilaian di tempat kerja: Mengenal pasti bahaya yang boleh meningkatkan risiko kanser, seperti pendedahan kepada karsinogen, dan mengambil langkah kawalan.
- (Confidentiality) Sulit dan hormat: Melaksanakan dasar jelas mengenai maklumat kesihatan pekerja serta melatih pengurus untuk mengekalkan kerahsiaan dan memberi sokongan yang sensitif.
Pendekatan proaktif dan terangkum terhadap sokongan kanser di tempat kerja bukan sahaja memberi manfaat kepada individu, malah meningkatkan daya tahan dan produktiviti organisasi secara keseluruhan.