KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan AirAsia MOVE hari ini menandatangani satu kerjasama strategik bagi menggalakkan pelancongan ke Singapura, dengan tumpuan kepada pasaran utama Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand.
Kerjasama ini dimeterai dalam satu majlis menandatangan Surat Kerjasama (LOC) pada 17 April 2025, dan akan menyaksikan kedua-dua pihak berganding bahu menyediakan pengalaman pelancongan yang lebih personal, mudah dan menyeronokkan.
Sehubungan dengan itu, kempen ini menawarkan percutian hujung minggu istimewa melalui AirAsia MOVE buat pelancong dari Malaysia dan Thailand, dalam satu pakej mudah menggabungkan penerbangan, penginapan dan akses kepada acara dan tarikan utama di Singapura.
Kerjasama ini berasaskan komitmen bersama STB dan AirAsia MOVE untuk memanfaatkan data, teknologi dan kandungan digital bagi memperkaya pengalaman pelancong.

Kempen promosi bersama ini dijangka akan dilancarkan pada suku ketiga 2025, dengan tumpuan kepada keunikan tarikan Singapura dan usaha mempromosikan destinasi ini dalam kalangan pelancong serantau.
Penolong Ketua Eksekutif Kumpulan Antarabangsa STB, Juliana Kua berkata pelancong Asia Tenggara mempunyai keperluan dan minat yang pelbagai, dan ramai sudah mengenali Singapura.
“Untuk menarik mereka kembali dan meneroka negara ini dengan lebih dekat, kita perlukan pendekatan yang lebih tepat berpandukan data. Kerjasama ini membolehkan kami memanfaatkan kekuatan AirAsia MOVE dalam aspek tersebut,” katanya lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia MOVE, Nadia Omer pula berkata kerjasama ini menzahirkan komitmen kami untuk terus memacu pertumbuhan pelancongan serantau melalui inovasi dan jaringan strategik.
“Dengan memanfaatkan ekosistem digital serta maklumat analitik pengguna yang kami peroleh, kami berhasrat untuk meningkatkan kadar pertukaran dan keterlibatan pengguna, di samping mempermudah proses perancangan perjalanan ke Singapura. Kerjasama strategik ini membolehkan kami membuka peluang baharu di pasaran utama seperti Malaysia dan Thailand, serta menawarkan nilai tambah yang lebih besar kepada pelancong dan pihak berkepentingan dalam industri pelancongan.,” kata beliau lagi.
Pelancong akan menerima cadangan yang disesuaikan dengan minat dan keperluan mereka — merangkumi tarikan popular hinggalah aktiviti berasaskan pengalaman. Saranan ini dihasilkan melalui gabungan maklumat analitik pengguna daripada AirAsia MOVE dan STB merentas pelbagai kumpulan pengguna.
Kerjasama ini akan menampilkan pelbagai acara menarik, lokasi wajib dikunjungi serta pengalaman tempatan yang unik yang menjadikan Singapura sebuah destinasi istimewa — memastikan sentiasa ada sesuatu yang baharu untuk diterokai, sama ada bagi pelawat kali pertama mahupun yang berkunjung semula.
Bagi memudahkan perancangan percutian, pelancong boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai acara, penginapan dan aktiviti di Singapura secara terus melalui platform AirAsia MOVE.
STB dan AirAsia MOVE akan turut bekerjasama bagi memperkaya pengalaman pelancong Muslim dengan mengetengahkan pelbagai kemudahan dan tawaran mesra Muslim yang terdapat di seluruh Singapura.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.