KUALA LUMPUR, 23 Disember 2025 – Platform pelancongan digital, Agoda mendedahkan bahawa hotel di Asia yang menerapkan strategi penyetempatan (localization) yang menyeluruh berjaya mencatatkan peningkatan ketara dalam kepuasan pelanggan dan jumlah tempahan berulang.
Dapatan tersebut diterbitkan dalam laporan terbaharu bertajuk “Tailored to Win: How Hotels are using Localization to Capture Asia’s Tourism Boom “, yang menyoroti bagaimana pemain industri menyesuaikan pemasaran, tempahan, dan perkhidmatan mengikut budaya serta bahasa pelancong antarabangsa.
Menurut laporan itu, kira-kira sepertiga hotel di Asia kini berada pada tahap “penyesuaian bersepadu” (integrated tailoring), di mana elemen tempatan diterapkan dalam setiap aspek pengalaman tetamu, dengan hotel bertaraf 5 bintang mendahului trend ini.
Naib Presiden Kanan Bekalan di Agoda, Andrew Smith, berkata penyetempatan bukan sekadar trend, sebaliknya ia adalah keperluan strategik untuk terus bersaing dalam pasaran pelancongan Asia yang dinamik.
“Untuk benar-benar memberikan hasil perniagaan yang boleh diukur, hotel mesti mendekati strategi penyesuaian secara holistik, melihat bahasa, sistem pembayaran, reka bentuk dan pemasaran sebagai elemen yang saling berkaitan.
“Ia menuntut peralihan minda daripada penyeragaman (standardization) kepada segmentasi, dan daripada komunikasi massa kepada resonans budaya yang tulen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Laporan Agoda menunjukkan impak positif yang signifikan bagi hotel yang mengamalkan strategi ini pada tahap lanjutan:
- 99% melaporkan peningkatan kepuasan tetamu.
- 95% melihat peningkatan dalam tempahan berulang.
- 91% mendapati tetamu sanggup membayar harga lebih tinggi setiap bilik (berbanding 80% pada peringkat awal pelaksanaan).
Selain peningkatan hasil per bilik yang tersedia (RevPAR), hotel turut menikmati kuasa penetapan harga yang lebih baik dan kesetiaan pelanggan.
Dari segi pelaksanaan, sekitar 60 peratus hotel yang menyasarkan pasaran utama seperti Singapura, Jepun, dan Korea Selatan kini menggunakan saluran media tempatan dan platform digital popular negara sumber tersebut. Jumlah yang sama turut memaparkan butiran tempahan dan harga dalam bahasa serta mata wang pilihan tetamu.
Perkembangan ini selari dengan data Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang menunjukkan Asia kini menyumbang hampir 28 peratus daripada ketibaan antarabangsa global, peningkatan mendadak berbanding hanya 9 peratus pada tahun 2022.
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































