SINGAPURA, 25 Januari 2026 – Jet pejuang Sukhoi Su-30MKM milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal kembali menggegarkan ruang udara Singapura sempena penganjuran Singapore Airshow 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 8 Februari ini di Pusat Pameran Changi.
Penyertaan aset kebanggaan Malaysia itu adalah sebahagian daripada lapan persembahan udara spektakuler yang dijanjikan penganjur, melibatkan enam tentera udara antarabangsa dan dua pengeluar pesawat komersial.
Kali terakhir jet pejuang Sukhoi TUDM membuat persembahan di acara dwitahunan berprestij ini adalah pada edisi 2016 dan 2018, dan kemunculan semula kali ini pasti dinantikan peminat aeroangkasa serantau.
Edisi 2026 turut mencatat sejarah tersendiri dengan penampilan sulung pesawat tempur generasi kelima, F-35A Lightning II milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF).
Selain Malaysia dan Australia, ruang udara Changi akan dimeriahkan dengan aksi aerobatik berpresisi tinggi oleh pasukan Sarang (Tentera Udara India), pasukan Jupiter (Tentera Udara Indonesia) dan pasukan Bayi (Tentera Udara China).
Tuan rumah, Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) pula akan menampilkan Pasukan Paparan Bersepadu yang menggandingkan jet pejuang F-16C dan helikopter serangan AH-64D Apache.
Pengarah Urusan Experia Events, Leck Chet Lam berkata, barisan persembahan kali ini mencerminkan sokongan antarabangsa yang kuat terhadap acara tersebut.
“Kami berbesar hati dapat mempersembahkan gabungan pelbagai pesawat tentera dan komersial yang mempamerkan teknologi canggih serta kemahiran kru udara dari seluruh dunia,” katanya.
Bagi segmen komersial, pesawat Airbus A350-1000 dan pesawat badan sempit COMAC C919 dari China turut dijadualkan melakukan aksi penerbangan.
Orang ramai berpeluang menyaksikan pameran ini pada sesi Weekend@Airshow (7 dan 8 Februari) dengan tiket dijual pada harga SGD39 (Dewasa) dan SGD19 (Kanak-kanak 3-12 tahun).
Akses Malaysia merupakan satu saluran pengetahuan dan informasi yang disediakan bagi membolehkan pembaca mendapatkankan info-info terkini dalam dan luar negara.















































